Timur: Produk PKS Jeli diharap tembusi pasaran luar

Monday, August 31, 2009

Oleh Mohamed Sahidi Yusof
bhkb@bharian.com.my

Usahawan Jeli diberi bimbingan dedah pengurusan daya saing

JELI: Seramai sembilan pengusaha perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dari jajahan ini yang terpilih mengikuti projek perniagaan syarikat contoh, diharap mampu menghasilkan produk yang dapat membawa jenama Jeli menembusi pasaran antarabangsa.

Pengarah MPC Wilayah Timur, Nik Mustapa Raja Salleh, berkata bagi menjayakan hasrat itu, pengusaha akan diberi bimbingan dan didedahkan mengenai pengurusan daya saing, menambah kecekapan dan meningkatkan produktiviti perniagaan yang diusahakan mereka.

Katanya, program bimbingan dibiayai dan dilaksanakan MPC menerusi program pembangunan PKS dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) itu juga membolehkan pengusaha terbabit menjadi contoh kepada pengusaha PKS lain dalam meningkatkan prestasi, produktiviti dan kualiti perniagaan masing-masing.

"Adalah diharapkan pengusaha terbabit mampu menghasilkan produk yang boleh membawa jenama Jeli di pasaran lebih luas apabila tamat mengikuti projek berkenaan.

"Kita juga mengharapkan pengusaha PKS dari Jeli yang terpilih menggunakan peluang yang diberikan dengan tekun serta jangan lupa pengalaman diperoleh dikongsi bersama pengusaha lain," katanya selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara sembilan pengusaha terbabit dengan MPC di Kompleks Pondok Moden, di sini.

Majlis itu turut disaksikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Balah, Datuk Aziz Derashid.

Nik Mustapa berkata, bukan mudah bagi pengusaha PKS mengikuti projek syarikat contoh di bawah bimbingan MPC kerana organisasi terpilih akan menjalankan beberapa kegiatan bagi tempoh antara tiga hingga tiga setengah tahun.

Katanya, MPC sudah banyak memberi kefahaman kepada pengusaha PKS, termasuk masyarakat di Jeli mengenai kepentingan produktiviti, kualiti, kecekapan dan daya saing dalam urusan kehidupan mereka seharian.

"Kita dimaklumkan 12 program termasuk majlis ini dijalankan MPC di kawasan Parlimen Jeli sejak April lalu hingga kini dan dijangkakan ia diteruskan lagi dengan program lain pula pada masa depan," katanya.

Sementara itu, seorang pengusaha PKS Jeli, Sabarina Abdullah, 48, menyifatkan pemilihan perniagaan yang diusahakannya untuk mengikuti projek syarikat contoh adalah sesuatu tidak diduga.

Beliau yang menjalankan perniagaan berasaskan makanan dingin beku berazam merealisasikan hasrat menghasilkan produk jenama Jeli sehingga ke pasaran lebih luas termasuk ke luar negara. - Berita Harian

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya