Pembeli rumah PPR dapat pinjaman penuh

Monday, August 31, 2009

KUALA LUMPUR 30 Ogos - Golongan berpendapatan rendah yang layak membeli kediaman di bawah Projek Perumahan Rakyat (PPR) akan memperoleh 100 peratus pinjaman kewangan daripada institusi kewangan.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata, ketika ini terdapat beberapa bank yang bersetuju untuk memberi pinjaman sepenuhnya kepada pembeli PPR.

"Hasil perbincangan yang dilakukan kerajaan dan bank berkenaan, mereka bersetuju memberi pinjaman kewangan penuh mengikut harga rumah.

"Pembeli hanya perlu menyediakan bayaran guaman yang rendah untuk urusan jual beli," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas berhubung penjualan rumah PPR yang akan dijual kepada golongan berpendapatan rendah di bawah RM2,500 mulai Oktober ini.

Raja Nong Chik berkata, bagi pembeli tidak layak memperoleh pinjaman kerana sudah berusia, kerajaan akan meminta anak atau saudaranya untuk membantu.

"Kerajaan akan menggunakan kelayakan generasi kedua atau ketiga pembeli untuk mendapatkan pinjaman sekiranya pembeli sudah berusia supaya tetap memperoleh rumah PPR," katanya.

Selain itu, jelasnya, kerajaan juga dalam usaha mendapatkan bantuan badan amal termasuk Baitulmal untuk membantu membayar ansuran bulanan rumah PPR yang dibeli golongan Orang Kurang Upaya (OKU) dan ibu tunggal miskin.

"Bagi pembeli yang tidak ada gaji tetap dan penyata pendapatan seperti peniaga kecil, kerajaan akan keluarkan surat bagi melayakkannya menerima pinjaman bank," tambahnya. - Utusan

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya