Pengusaha luar bandar dilatih lebih berdaya saing

Friday, August 14, 2009

Oleh Baharom Bakar
bhkt@bharian.com.my

Latihan kemahiran dipertingkat hasilkan produk bertaraf global

KUALA TERENGGANU: Kerajaan sedang merangka kaedah untuk membantu dan melatih masyarakat luar bandar yang terbabit dalam perusahaan tertentu supaya lebih berdaya saing serta cekap dalam menghasilkan produk masing-masing.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata menerusi latihan dan bantuan yang disalurkan itu, kerajaan berharap dapat menambah kemahiran serta keupayaan golongan berkenaan supaya produk dihasilkan mempunyai pasaran yang lebih meluas.

Katanya, penduduk luar bandar mampu menceburi bidang perniagaan, tetapi mereka perlu diberi sokongan termasuk latihan berasaskan kemahiran dan keupayaan mereka, selain modal dan bantuan kewangan.

"Masyarakat luar bandar bukan hanya perlu dibantu dengan menyediakan prasarana seperti jalan raya, bekalan air bersih, rumah dan bekalan elektrik, tetapi ilmu dan kemahiran dimiliki mereka juga perlu sentiasa disuburkan.

"Penduduk luar bandar mempunyai kemahiran menghasilkan pelbagai produk kraf menggunakan bahan semula jadi, tetapi mereka perlu diberi peluang mengembangkan kemahiran dimiliki," katanya selepas melawat kilang Noor Arfa Batik, di Chendering, di sini, semalam.

Hadir sama Pengerusi Mara, Datuk Seri Idris Jusoh.

Mohd Shafie berkata, Mara dan agensi di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah diminta memainkan peranan melatih penduduk luar bandar mengembangkan asas kemahiran dan keupayaan mereka supaya produk dihasilkan lebih bermutu dan memenuhi piawai antarabangsa.

Memberi contoh, beliau berkata, ramai penduduk luar bandar berkemahiran dalam bidang pertanian terutama mengusahakan tanaman kelapa sawit dan getah, tetapi pada masa yang sama mereka juga perlu diberi peluang menceburi diri dalam bidang lain termasuk ternakan.

Katanya, penduduk di pendalaman Sarawak mampu memperoleh pendapatan lebih RM5,000 sebulan selepas mereka diberi peluang untuk menceburi bidang ternakan ikan dalam sangkar.

"Kerajaan menyediakan pelbagai kemudahan asas bagi membantu penduduk luar bandar, dan mereka perlu manfaatkan kemudahan disediakan untuk meningkatkan ekonomi,” katanya.- Berita Harian.

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya