Nombor telefon iklan haram dibatal

Thursday, August 27, 2009

Tindakan undang-undang akan diambil

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan membatalkan nombor telefon dipaparkan dalam iklan haram yang ditampal di tempat awam sebagai tindakan tegas dalam menangani gejala itu.

Menurut kenyataan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan semalam, bagi tempoh Mei hingga Julai lalu, sebanyak 1,705 nombor telefon pada iklan haram dikumpul oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) dan dikemukakan kepada SKMM bagi tujuan pembatalan.

Meskipun tindakan penguatkuasaan diambil secara berterusan melalui undang-undang sedia ada seperti Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 (Akta 400), Undang-undang Kecil Iklan dan Undang-undang Kecil Vandalisme, masalah itu terus berleluasa.

"SKMM akan membantu PBT mengenal pasti pihak yang melakukan kesalahan itu dengan menyediakan nama, alamat serta butiran lain.

"Langkah seterusnya, PBT boleh mengambil tindakan undang-undang ke atas pihak yang sudah dikenal pasti itu," kata kenyataan berkenaan.

Penampalan iklan haram dapat dilihat secara berleluasa di tempat awam seperti tiang lampu, pondok telefon, pokok teduhan, dinding bangunan, tiang LRT dan tempat menunggu bas.

Keadaan ini bukan saja mencacatkan pemandangan dan menjejaskan imej bandar, malah menimbulkan gangguan awam seperti menutup papan tanda jalan manakala orang ramai juga mungkin terpedaya dengan iklan haram terbabit.

Kenyataan itu turut menyebut iklan haram itu digunakan oleh individu atau pihak tertentu untuk menawarkan perkhidmatan yang kurang sihat.

Berikutan itu, orang ramai diminta terus bekerjasama membantu PBT dalam membanteras kegiatan penampalan iklan haram dengan melaporkan nombor telefon yang tertera pada iklan haram kepada PBT atau SKMM. � Berita Harian

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya