Terjejas tanpa Dara

Thursday, August 27, 2009


Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah bersama Jamaluddin Jarjis menyampaikan sumbangan kepada anak-anak yatim, warga emas, fakir miskin dan Orang Asli pada majlis berbuka puasa di Bukit Ibam, Rompin, semalam.


ROMPIN 26 Ogos - Ahli Parlimen Rompin, Datuk Seri Dr. Jamaluddin Jarjis berharap kerajaan mempertimbangkan segera cadangan mewujudkan sebuah agensi membangunkan sektor industri di Pahang Tenggara.

Beliau berkata, pembangunan sektor itu perlu memandangkan kawasan tersebut dilengkapi pelbagai kemudahan infrastruktur yang dibangunkan sebelum Lembaga Kemajuan Pahang Tenggara (Dara) dibubarkan pada 1997.

"Prasarana di wilayah ini mencukupi, cuma pembangunan dari segi ekonomi perlu dipertingkatkan," katanya selepas menghadiri majlis berbuka puasa di Masjid An-Nadhah, Bukit Ibam di Muadzam Shah malam tadi.

Berkenan berangkat ke majlis itu, Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Baru-baru ini, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal pada dasarnya bersetuju mempertimbangkan cadangan penubuhan semula sebuah agensi pembangunan menyerupai Dara untuk membangunkan Pahang Tenggara.

Dara diwujudkan pada tahun 1971 hasil ilham Perdana Menteri Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein membabitkan kawasan seluas 340,536 hektar merangkumi daerah Rompin, Pekan, Maran, Paya Besar dan Bera sebelum dibubarkan pada 1997.

Menurut Jamaluddin, sejak Dara dibubarkan, kebanyakan penduduk terutama di daerah Rompin ketinggalan dari segi pembangunan ekonomi.

"Ketiadaan Dara menyebabkan wilayah itu agak jauh ketinggalan dari segi pembangunan ekonomi berbanding kawasan Lembaga Kemajuan Johor Tenggara," jelasnya.

Beliau turut bimbang wilayah itu akan terus ketinggalan dalam pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER). - Utusan

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya