'Jadi jambatan ekonomi Malaysia-AS'

Thursday, August 13, 2009


Anifah Aman (kanan) berjabat salam dengan Jamaludin Jarjis, ketika menerima kunjungan hormat beliau di pejabatnya di Putrajaya, semalam.

PUTRAJAYA 12 Ogos - Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat (AS), Datuk Seri Dr. Jamaludin Jarjis berazam mahu mewujudkan jambatan ekonomi baru antara Malaysia dengan negara itu demi manfaat rakyat.

Menurutnya, jalinan hubungan ekonomi itu adalah berpandukan kepada harapan rakyat yang mahu melihat hubungan luar Malaysia membawa faedah secara langsung kepada mereka.

''Tugas saya sebagai duta adalah membina impian dan harapan rakyat berasaskan kepada hubungan ekonomi yang lebih erat antara AS dengan kita.

''Jambatan ekonomi dengan AS dapat membawa masuk pelabur asing, mewujudkan peluang pekerjaan, menggalakkan pemindahan teknologi serta membuka peluang pasaran yang lebih luas kepada usahawan kita,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia selepas mengadakan pertemuan dengan Menteri Luar, Datuk Anifah Aman dan timbalannya, Datuk Lee Chee Leong di Wisma Putra di sini hari ini.

Jamaludin berkata, jambatan ekonomi tersebut adalah berasaskan kepada hala tuju dasar luar AS di bawah kepimpinan Presiden Barack Obama.

''Terdapat kesedaran dan kebangkitan baru dalam sikap AS di bawah Presiden Obama yang mengamalkan dasar luar yang agak berlainan terutama ke atas negara Islam dan negara-negara Timur.

''Sikap beliau yang menghormati negara lain membuka peluang yang cerah kepada kita untuk mempertingkatkan hubungan perdagangan dan ekonomi antara dua negara,'' katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, rakyat perlu menerima hakikat bahawa AS merupakan negara besar yang berpengaruh di persada antarabangsa.

''Walaupun Malaysia tidak mahu bergantung kepada satu-satu negara dan kita telah melihat ke arah India dan China namun hakikatnya India dan China juga diterajui oleh pelabur dari AS,'' katanya.

Dalam pada itu, Jamaludin yang merupakan Ahli Parlimen Rompin berkata, kebajikan penduduk di Rompin tidak akan diabaikan selepas beliau ke Washington.

''Saya akan mengekalkan komunikasi dengan pengundi di Rompin melalui Internet dan Skype,'' katanya. - Utusan.

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya