Gunakan sepenuhnya tanah ladang

Thursday, August 27, 2009

KUALA KRAU 26 Ogos - Peneroka di negeri ini diminta memaksimumkan penggunaan tanah kosong di halaman rumah dan ladang mereka dengan kegiatan pertanian serta ternakan bagi meningkatkan pendapatan.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Hal Ehwal Felda negeri, Datuk Tan Mohd. Aminuddin Ishak berkata, aktiviti seumpama itu sekali gus dapat merealisasikan hasrat kerajaan untuk menjadikan Felda gedung makanan negara.

''Peneroka termasuk generasi baru Felda perlu mengorak langkah mengusahakan tanah-tanah terbiar di kawasan rumah dan ladang dengan aktiviti pertanian berskala besar.

''Jabatan Pertanian dan Felda bersedia memberi bantuan dan sokongan kepada mereka untuk menjayakan projek tanaman kontan atau ternakan itu,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia selepas mengadakan pertemuan dengan generasi baru Felda di Felda Jengka 16 di sini hari ini.

Hadir sama, Pengurus Besar Felda Wilayah Jengka, Saari Din, Pengerusi Majlis Belia Felda Wilayah Jengka, Abdul Rahman Basri dan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR) Gabungan Wilayah Jengka, Sulaiman Bakar.

Tan Mohd. Aminuddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chenor berkata, generasi baru Felda perlu menukar persepsi negatif terhadap sektor pertanian kerana bidang itu mampu memberi pulangan lumayan kepada mereka.

Sementara itu, Sulaiman mahu peneroka menyahut saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya mempelbagaikan aktiviti pertanian di halaman rumah dan ladang.

Katanya, keluasan tanah empat hektar yang dimiliki peneroka membolehkan mereka mengusahakan tanaman kontan dan ternakan. - Utusan

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya