|
|
KUALA LUMPUR 24 Ogos - Halimahton Yusof, ibu kepada pelajar perempuan genius, Sufiah Yusof, akan berkongsi pengalaman mendidik anak pintar dengan Permata Negara dan Permata Pintar.
Penaung projek itu yang juga isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor berkata, kerjasama tersebut akan dimulakan dalam waktu terdekat.
"Ketika berjumpanya, saya berbincang dan menerangkan secara mendalam bagaimana beliau boleh memberi tunjuk ajar dan khidmat nasihat kepada kanak-kanak dalam projek ini dengan pengalaman yang ada.
"Apa yang membanggakan, Halimahton bersetuju melakukannya secara sukarela iaitu tanpa bayaran kerana menganggapnya tanggungjawab sosial kepada masyarakat dan negara," katanya.
Beliau bercakap pada sidang akhbar selepas mengadakan perjumpaan dengan Halimahton di kediaman Perdana Menteri di sini hari ini.
Permata Negara adalah program bertujuan merangsang minda kanak-kanak melalui imaginasi yang baik supaya dapat membantu perkembangannya di peringkat awal terutama di bawah usia lima tahun.
Kaedah itu dapat melatih kanak-kanak berkenaan membesar dalam suasana gembira dan penuh keseronokan.
Permata Pintar pula adalah program bertujuan membantu kanak-kanak pintar cerdas berusia antara sembilan hingga 15 tahun menjalani proses pembelajaran untuk merangsang minda.
Kanak-kanak itu akan mengikuti perkhemahan cuti sekolah sekiranya berjaya melepasi ujian melalui komputer yang dianjurkan di sekolah dan di perkhemahan berkenaan, mereka akan diberikan pelbagai topik daripada subjek Sains, Matematik, dan Penulisan Kreatif untuk merangsang minda.
Menurut Rosmah, Halimahton juga akan menggunakan pengalamannya bagi memastikan kanak-kanak lain menjadi pintar berterusan tanpa tekanan, bukan seperti yang dialami Sufiah.
Jelasnya, adik Sufiah, Iskandar, 23, juga akan menyertai kerjasama ini dengan berkongsi pengalamannya mengulang kaji pelajaran sehingga turut dikategorikan pelajar genius.
"Diharap dengan usaha ini, semua pihak akan lebih memahami cara mendidik anak genius dan belajar daripada kesilapan.
"Halimahton akan memberi tunjuk-ajar dan khidmat nasihat secara umum termasuk membabitkan bidang matematik," katanya.
Selain itu, jelasnya, beliau sentiasa mengikuti dan mengambil berat masalah dihadapi Halimahton berkaitan Sufiah.
"Setiap ibu bapa sentiasa mahukan dan mengharapkan yang terbaik untuk anak mereka tetapi ada kala anak tidak memahaminya.
"Berhubung harapan Halimahton yang ingin Sufiah pulang, saya menyeru masyarakat di negara ini mendoakan agar gadis itu kembali kepada keluarga dan ajaran Islam," tambahnya.
Kisah Sufiah mula mendapat perhatian meluas dan menggemparkan dunia apabila kanak-kanak pintar itu layak memasuki Universiti Oxford pada usia 13 tahun.
Pada tahun 2000, ketika berusia 15 tahun, Sufiah melarikan diri dari universiti berkenaan apabila dikatakan tertekan dengan sikap bapanya yang sentiasa memaksanya belajar bagi memastikan kecemerlangan prestasi akademiknya terus berkekalan.
Selepas perkahwinannya dengan seorang peguam pelatih, Jonathan Marshall pada 2004 menemui kehancuran, Sufiah terus mencetuskan kontroversi.
Dalam laporan akhbar, Sufiah kini dikatakan terpesong jauh dari landasan Islam apabila menjadi pekerja khidmat seks di Manchester bagi menampung perbelanjaan kehidupannya. - Utusan
0 comments:
Post a Comment