PUTRAJAYA 26 Ogos – Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengingatkan semua pemimpin masyarakat dan media di negara ini supaya tidak menimbulkan unsur sensasi terhadap isu-isu yang boleh mengundang kontroversi dalam masyarakat.
Ingatan Perdana Menteri itu dibuat ketika beliau mempengerusikan mesyuarat Kabinet di sini pagi ini.
Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, Perdana Menteri membangkitkan perkara itu kerana ketara masyarakat ketika ini terlalu banyak dihidangkan atau membicarakan isu-isu yang tidak menguntungkan.
Serentak itu, kata beliau, kementeriannya dan Kementerian Dalam Negeri diketuai Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein akan memainkan peranan sebagai orang tengah, berurusan dengan pihak media agar tidak ada unsur keterlaluan untuk mensensasikan sesuatu isu atau kes tertentu.
“Contohnya dalam bulan-bulan kebelakangan ini, kita dihidangkan dengan laporan kes melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim tetapi sehingga ini tidak ada apa-apa (perkembangan). Namun, disebabkan berita ini telah disensasikan, maka ia sendirinya mencetuskan kontroversi dalam masyarakat.
“Ingatan ini adalah untuk semua media cetak dan elektronik baik surat khabar berbahasa Melayu mahupun Cina. Ini demi kesejahteraan dan keamanan negara, juga untuk mengekalkan suasana harmoni sedia ada,” katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.
Dalam pada itu, Rais berkata, sambutan Kemerdekaan Ke-52 negara akan diadakan di pekarangan bangunan Parlimen secara kecil-kecilan tanpa melibatkan penyertaan kanak- kanak.
“Ini kerana ibu bapa telah menzahirkan keresahan jika diadakan di stadium, ia boleh mengundang jangkitan selesema babi atau influenza A (H1N1),” kata beliau. - Utusan
0 comments:
Post a Comment