328 usahawan OKU dapat modal RM12.5j

Sunday, August 23, 2009

JOHOR BAHRU: Seramai 328 usahawan orang kurang upaya (OKU) di negara ini, menerima bantuan modal peralatan berjumlah RM12.5 juta menerusi Skim Bantuan Galakan Perniagaan Orang Kurang Upaya (SBGP-OKU).

Skim berkenaan diperuntukkan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) bagi membantu golongan itu maju dalam bidang keusahawanan dan membuka peluang pekerjaan kepada OKU lain.

Timbalan Ketua Pengarah II, Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia, Md Sabri Karmani, berkata kerajaan memperuntukkan RM17 juta kepada golongan berkenaan.

Bagaimanapun, katanya hanya 74 peratus daripada peruntukan itu dimanfaatkan golongan berkenaan bagi menjalankan pelbagai perniagaan termasuk refleksologi, bengkel kenderaan serta berkaitan pertanian dan penternakan ikan.

"Kami menerima permohonan daripada 445 usahawan OKU, namun hanya 328 diberi kelulusan kerana memenuhi syarat ditetapkan," katanya.

termasuk OKU hanya perlu menjadi usahawan selama tiga bulan dan menggajikan pekerja OKU dalam syarikat mereka, iaitu 'OKU membantu OKU'.

"Pemohon yang gagal pula disebabkan faktor seperti tidak mempunyai surat perjanjian untuk mengembangkan perniagaan mereka sekiranya tanah atau premis disewa daripada pihak lain," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Program Promosi Penggalakan Penggajian OKU Peringkat Negeri Johor di Sekolah Kanak-Kanak Istimewa, Jalan Gertak Merah, di sini, semalam.

Program disertai 12 syarikat swasta seluruh negeri yang menawarkan lebih 500 kekosongan jawatan kepada golongan OKU di Johor.

Terdahulu, Md Sabri berkata, seramai 250,000 OKU berdaftar dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan seramai 10,802 orang berdaftar dengan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) bagi mencari pekerjaan menerusi Sistem Penempatan OKU (SPOKU).

Beliau berkata, daripada 10,802 OKU terbabit, JTK berjaya menempatkan kira-kira 7,500 OKU dalam pelbagai jawatan di sektor swasta.

"Pelbagai usaha dijalankan untuk membolehkan OKU mendapat pekerjaan namun faktor kemahiran yang tidak sesuai di sesebuah syarikat menyebabkan golongan itu gagal mendapat pekerjaan.

"Selain itu, faktor tempat lokasi kerja yang jauh dari rumah juga menyebabkan kebanyakan ibu bapa OKU keberatan untuk melepaskan anak mereka," katanya. - Berita Harian

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya