Ibu bapa digesa tidak abai pendidikan agama anak-anak

Saturday, August 15, 2009


KUMPULAN Nasyid Sekolah Agama Felda Tenggaroh 3 mengadakan persembahan pada Majlis Perasmian Mesyuarat Badan Kebajikan Sekolah Agama Felda Tenggaroh 3 di Kota Tinggi, Johor, baru-baru ini.

MERSING 14 Ogos - Ibu bapa digesa tidak mengabaikan pendidikan agama kepada anak-anak mereka kerana ia penting untuk membentuk generasi muda menjadi rakyat yang baik.

Ahli Parlimen Mersing, Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad berkata, pendidikan agama yang mendalam juga mampu melahirkan generasi berdisiplin dan mempunyai nilai murni yang tinggi.

"Walau setinggi mana sekalipun pelajaran, jangan abaikan pendidikan agama kerana ia sangat penting untuk menjamin hidup yang baik," katanya semasa merasmikan Mesyuarat Badan Kebajikan Sekolah Agama Felda Tenggaroh 3, dekat sini baru-baru ini.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Pertahanan turut mengingatkan semua pihak supaya tidak bersikap sombong dan angkuh kerana ia akan menimbul perasaan benci kepada orang lain.

Majlis tersebut turut diserikan dengan persembahan kumpulan nasyid yang baru ditubuhkan beberapa bulan lalu atas inisiatif guru besar sekolah itu, Zuraida Zakaria.

Sementara itu, Zuraida memberitahu, kumpulan itu merupakan kumpulan nasyid pertama bagi sekolah agama di Johor yang memainkan alat muzik.

"Kumpulan itu telah dilatih oleh Cikgu Ruzini M. Saidak dan pernah memenangi persembahan terbaik nasyid sekolah-sekolah agama negeri Johor," katanya.

Kumpulan nasyid yang terdiri daripada murid-murid itu juga sering mendapat undangan membuat persembahan di luar sekolah.

"Saya berterima kasih pihak Pengurusan Felda, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), guru-guru dan penduduk Felda Tenggaroh 3 kerana sentiasa membantu dan menyokong sekolah agama termasuk bantuan kewangan, tenaga dan kerjasama," katanya.

Turut hadir pada majlis itu adalah Pegawai Pelajaran Agama Daerah Mersing, Mohd. Hadris Shahri. - Utusan.

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya