Cabaran bapa pendorong kejayaan

Saturday, August 15, 2009

KUALA LUMPUR 14 Ogos - Meskipun bergelar anak yatim seminggu sebelum menduduki peperiksaan akhir namun ia tidak melemahkan semangat Noor Siti Fadzilah Shake Husin, 23, untuk menjadi pelajar cemerlang Universiti Malaya (UM).

Ketika begitu hampir mengecapi kejayaan yang begitu bermakna dalam hidup, bapanya meninggal dunia akibat serangan jantung.

Namun kehilangan orang tersayang itu tidak menghalangnya untuk berjaya apabila mampu menamatkan pengajian dan menerima ijazah sarjana muda pada Konvokesyen UM di sini semalam.

Malah ia juga mendorong dia menggandakan usaha sehingga layak menerima Pingat Emas Datuk Panglima Kinta Eusoff yang menjadi idaman semua mahasiswa UM.

Lulusan Ijazah Sarjana Muda Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya (UM) itu berkata, dia kehilangan bapanya, Shake Husin Majid, 55, yang meninggal dunia pada 14 April lalu sebelum dia menjalani peperiksaan akhir pada 20 April.

Noor Siti Fadzilah berkata, bapanya yang meninggal dunia akibat serangan penyakit jantung dan diabetes merupakan individu yang sering menuntut supaya beliau menamatkan pengajian sebagai graduan cemerlang sebelum ini.

''Saya berusaha tanpa mengenal letih sebelum ini bagi menghadiahkan gulungan ijazah ini pada dia (ayah) hari ini, namun dia pergi (meninggal dunia) ketika saya dalam perjuangan terakhir.

''Ketika itu fikiran dan perasaan saya memang berkecamuk tetapi nasihat yang diberikan ibu, rakan-rakan serta pensyarah telah mengembalikan keyakinan saya,'' katanya kepada Utusan Malaysia.

Dia ditemui pada majlis Konvokesyen Universiti Malaya (UM) Sesi Keenam di Dewan Tunku Canselor (DTC).

Seramai 959 graduan dari Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran serta Fakulti Sastera dan Sains Sosial menerima ijazah sarjana muda masing-masing.

Menurut Noor Siti Fadzilah yang berasal dari Kulim, Kedah, bagi menunaikan hasrat arwah bapanya, dia telah menggandakan usaha dan menggunakan peluang pada peperiksaan terakhir itu untuk mencapai kecemerlangan.

''Saya bersyukur kerana dapat merealisasikan impiannya walaupun arwah tidak dapat bersama berkongsi kegembiraan pada hari ini.

''Selepas selesai urusan menyerahkan jubah kepada pihak universiti, saya akan terus pulang ke Kulim bagi menziarahi kubur arwah bapa saya,'' jelasnya.

Noor Siti Fadzilah ditemani ibunya, Noorbee Kathersha, 55, dan kakaknya, Siti Fauziah Shake Husin, 27, pada majlis konvokesyen tersebut. - Utusan.

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya