Menjahit tambah pendapatan keluarga

Monday, August 31, 2009

KOTA TINGGI 30 Ogos - Bergelar suri rumah tidak menjadi penghalang untuk meraih pendapatan lumayan jika bijak menggunakan kemahiran khususnya menjahit.

Bahkan tidak mustahil golongan itu boleh menikmati pendapatan setaraf mereka yang bekerja sepenuh masa di pejabat.

Ibarat sambil menyelam minum air, bekerja di rumah lebih menguntungkan kerana dapat menumpukan perhatian pada keluarga di samping menambah pendapatan keluarga.

Bermula sebagai hobi semata-mata, seorang warga emas, Saniah Mogo, 63, tidak pernah terfikir kemahiran menjahit yang dimilikinya itu mampu mengubah kehidupannya.

Ibu kepada lima anak itu yang tidak pernah bekerja di mana-mana syarikat, kini meraih pendapatan menjangkau empat angka sebulan hasil mengambil upah menjahit pakaian wanita dan lelaki serta menjual barangan berkaitan seperti tudung, telekung, butang, kerongsang, pakaian siap dan sebagainya.

''Dulu memang tidak pernah terfikir untuk ketengahkan bakat menjahit malah saya tidak pernah belajar menjahit secara rasmi dari mana-mana institusi.

''Minat memang ada tetapi hanya mula menjahit apabila berumah tangga kerana sedikit sebanyak terpaksa menjahit baju untuk suami dan anak-anak,'' kata anak kelahiran Kampung Temenin di sini baru-baru ini.

Bagi meningkatkan kemahirannya, Saniah tidak jemu menimba ilmu bidang jahitan seperti teknik jahitan sulaman dan sulam tampal.

Sebagai ibu, dia sentiasa memastikan segala urusan rumah tangga termasuk anak-anak diutamakan sebelum memulakan kerja menjahit. - Utusan

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya