Pembangunan akuakultur ditingkat

Friday, August 14, 2009

MELAKA 13 Ogos - Kerajaan akan menggiatkan lagi pembangunan sektor akuakultur dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) kerana ia mampu menjana pendapatan negara, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata, kerajaan telah mengenal pasti beberapa kawasan di seluruh negara yang boleh dimajukan sebagai zon industri akuakultur.

"Tumpuan sektor ini bukan semata-mata dalam aspek pengeluaran udang dan ikan tetapi lebih penting ialah memproses bahan industri berasaskan perikanan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2009 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Noh Omar dan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam.

Mengulas lanjut Muhyiddin berkata, kerajaan akan terus menggerakkan sektor pertanian dalam RMK-10 kerana ia terbukti telah membantu pembangunan ekonomi negara.

Beliau berkata, sebagai contoh, hasil eksport sektor agro makanan telah meningkat daripada RM13.7 bilion pada 2007 kepada RM17.7 bilion tahun lalu.

Menurutnya, peningkatan jumlah eksport agro makanan sebanyak 29.2 peratus itu disokong oleh peningkatan dalam produk pemprosesan.

"Ini menandakan bahawa sektor ini boleh bangkit semula sekiranya diberikan tumpuan yang lebih tepat," katanya.

Beliau berkata, industri asas tani turut menunjukkan peningkatan menerusi pertambahan penghasilan produk makanan berkualiti, selamat dimakan, mesra alam, mematuhi piawaian antarabangsa dan berdaya saing.

"Kaedah pembungkusan, pelabelan dan penjenamaan pula sudah menunjukkan peningkatan yang baik di kalangan pengusaha untuk diterima di pasaran yang lebih luas," katanya.

Muhyiddin turut meminta seluruh warga petani, penternak dan nelayan bekerja rapat dengan kerajaan, kementerian dan agensi berkaitan untuk memastikan sektor pertanian terus maju. - Utusan.

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya