JOHOR BAHRU 18 Ogos - Seramai 370 pelajar tingkatan lima yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dari 11 sekolah di kawasan Tenggara, Kota Tinggi mengikuti Seminar Motivasi SPM 2009 di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai baru-baru ini.
Sekolah yang terlibat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Panti adalah SMK Bandar Tenggara 1 & 2, SMK Seri Pinang, SMK Linggiu, SM Agama Bandar Tenggara manakala sekolah di kawasan DUN Pasir Raja adalah SMK Sultan Alauddin, SMK Taman Sri Saujana, SMK Tun Habab, SMK Laksamana, SMK Taman Kota Jaya dan SM Agama (Arab) Kota Tinggi.
Program tiga hari anjuran Biro Pelajaran Jawatankuasa Penyelaras Mukim-Mukim (JPMM) DUN Panti dan DUN Pasir Raja itu turut mendapat kerjasama Biro Pelajaran Pemuda UMNO Bahagian Tenggara dan dikendalikan oleh Jawatankuasa Kolej Mahasiswa UTM Skudai.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panti, Datuk Baderi Dasuki menggesa golongan ibu bapa memainkan peranan penting bagi memastikan kejayaan program berbentuk keilmuan sama ada anjuran sekolah atau badan bukan kerajaan (NGO).
"Sokongan ibu bapa dan para pendidik dalam memberi input dan dorongan amat bermakna dalam membantu anak-anak mencapai kejayaan," katanya semasa merasmikan penutupan program berkenaan.
Bagaimanapun, katanya, semuanya tidak bermakna sekiranya murid-murid sendiri tidak mempunyai semangat serta jati diri menangani segala bentuk cabaran dalam proses mencapai kecemerlangan dalam pembelajaran.
Turut hadir ADUN Pasir Raja, Datuk Dr. Adham Baba, Pegawai Pelajaran Daerah (PPD) Kota Tinggi, Mohd. Zakaria Yusof dan Pengetua Kolej Tuanku Canselor UTM, Prof. Madya Dr. Yahya Buntat.
Sementara itu Pengerusi Biro Pendidikan Pemuda UMNO Bahagian Tenggara, Hahasrin Hashim memberitahu, seminar motivasi itu bertujuan membina jati diri peserta untuk menghadapi peperiksaan itu.
"Menerusi program motivasi ini, pelajar diharap dapat memberi fokus kepada kesedaran diri untuk terus berusaha, berdisiplin dan mampu membuat perancangan sendiri bagi mencapai kejayaan dalam peperiksaan SPM itu nanti," katanya. - Utusan Malaysia.
0 comments:
Post a Comment