MERSING 22 Ogos - Felda Tenggaroh 3 dekat sini akan menjadi salah satu gedung pengeluaran makanan berikutan langkah proaktif penerokanya mengusahakan tanaman longan dan buluh madu secara komersial.
Pengurus Felda Tenggaroh 3, Mispar Salim berkata, buat masa ini terdapat beberapa peneroka yang begitu komited mengusahakan tanaman itu dan menghasilkan pendapatan yang lumayan.
Katanya, berdasarkan pengamatan yang dibuat penanaman kedua-dua tumbuhan itu berjaya menambah pendapatan peneroka terbabit selain hasil tetap kelapa sawit.
"Idea ini timbul apabila saya menerajui Felda itu pada awal tahun lalu dan mendapati terdapat tanah milik Felda yang terbiar.
"Berikutan itu saya galakkan peneroka yang berminat menceburkan diri dalam tanaman lain iaitu menjadikan longan dan buluh madu sebagai pilihan peneroka di sini," katanya.
Mispar, 44, berkata demikian kepada Mingguan Malaysia yang mengadakan tinjauan ke beberapa kebun longan dan buluh madu yang diusahakan oleh peneroka di Felda tersebut, di sini baru-baru ini.
Jelas beliau, usaha murninya itu mendapat kerjasama baik di kalangan penduduk setempat malah mendapat sokongan pada daripada Pengurus Besar Felda Wilayah Johor Bahru, Sheikh Abdul Hadi Sheikh Omar.
"Hasrat saya satu hari nanti bidang ini turut diteroka oleh golongan belia sebagai pengganti bapa mereka yang kini berstatus warga emas.
"Kepada mereka yang berminat kita akan sediakan tanah kosong dan segala bentuk bantuan termasuk benih, baja dan sebagainya akan dibantu oleh jabatan dan agensi kerajaan yang berkaitan," katanya.
Mispar berkata, dari segi pasaran nampaknya setakat ini tidak menjadi masalah malah pengeluaran longan dan rebung dari buluh madu masih belum mencukupi bagi penduduk setempat.
Sebagai contoh, katanya, seorang peneroka, Yusof Tan, 64, yang mengusahakan longan seluas 0.7 hektar dan buluh madu seluas 0.4 hektar mampu memperoleh pendapatan tambahan sekitar RM3,000 sebulan.
Beliau memberitahu, hasil pengeluaran longan dan rebung buluh madu sekadar mampu memenuhi pasaran setempat.
"Jadi harapan saya jika ramai yang mengusahakan tanaman itu ia boleh dipasarkan ke luar daerah terutama ke Johor Bahru yang mempunyai kuasa beli yang tinggi," katanya. - Utusan
0 comments:
Post a Comment