KUALA LUMPUR 27 Ogos - Majlis Amanah Rakyat (Mara) menawarkan diskaun 30 peratus kepada peminjam yang membayar balik secara penuh pinjaman mereka berkuat kuasa 1 September hingga 31 Disember tahun ini.
Pengerusinya, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, pemberian diskaun pembayaran balik sempena sambutan kemerdekaan negara kali ke-52 itu untuk menggalakkan peminjam membayar balik pinjaman yang telah diberikan.
Katanya, galakan membayar itu secara tidak langsung membolehkan dana baru dapat dikumpul untuk pembiayaan program pinjaman pada masa akan datang.
"Pemberian diskaun itu tertakluk kepada peminjam untuk jenis pinjaman perniagaan atau pembiayaan perniagaan (tidak termasuk pinjaman atau pembiayaan kontrak), bekas penyewa premis perniagaan atau perusahaan.
"Selain itu, pinjaman Mikrokomputer Pelajar, pendahuluan pinjaman pelajaran, mereka yang tidak layak mendapat pengurangan Pinjaman Pelajaran Mara, bekas pelatih Institusi Pendidikan Mara dan pinjaman bekas anggota Mara," katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya ketika merasmikan majlis sambutan Bulan Kemerdekaan di ibu pejabat Mara di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Pengarah Mara, Datuk Nam Marthinin.
Idris berkata, kepada mereka yang dikenakan tindakan undang-undang, penguatkuasaan Mara sendiri atau diisytiharkan muflis oleh mana-mana pihak adalah tidak layak untuk pengurangan pembayaran tersebut.
Katanya, pemberian diskaun itu tidak termasuk kos guaman dan kos iklan nama penghutang yang disiarkan dalam akhbar.
Beliau seterusnya berkata, bukan semua peminjam di bawah skim Pinjaman Pelajaran Mara layak untuk menerima diskaun pengurangan pinjaman tersebut.
"Antaranya peminjam pelajaran tidak boleh ubah yang ditawar sebelum 1 Januari 1985, peminjam di peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah (PhD) mulai 1 Januari 1998.
"Begitu juga pelajar tahun akhir di bawah tajaan Mara yang berada di luar negara, peminjam yang melanggar kontrak, dan mereka yang gagal dalam pengajian," katanya.
Sebelum itu, katanya lagi, peminjam perlu melakukan pengesahan baki pinjaman terlebih dahulu dan mengisi borang permohonan pemberian diskaun sebelum membuat bayaran penuh di kaunter bayaran di pejabat Mara.
Sementara itu, beliau turut diminta mengulas mengenai penstrukturan semula Mara seperti yang diperkatakan oleh Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal.
Beliau berkata, kerajaan akan menstrukturkan semula hala tuju agensi yang telah banyak berjasa kepada rakyat itu untuk tujuan penambahbaikan.
Idris memberitahu, perbincangan akan dilakukan pada waktu terdekat untuk mengenalpasti langkah mengkaji kedudukan dan prestasi Mara supaya terus relevan sepanjang masa termasuk dengan melantik perunding.
"Pandangan masyarakat, konsep 1Malaysia dan peranan agensi itu pada masa akan datang dalam membantu rakyat antara perkara yang akan diberi perhatian untuk diteliti," ujar beliau. - Utusan
0 comments:
Post a Comment