TRONOH 16 Ogos – Setiap siswazah yang memasuki alam pekerjaan wajar menggunakan ilmu pengetahuan dengan cara yang betul demi kebaikan organisasi dan masyarakat, bukan melakukan perkara-perkara yang mementingkan diri.
Canselor Universiti Teknologi Petronas (UTP), Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, sikap dan komitmen yang ditunjukkan secara tidak langsung akan meningkatkan nama baik universiti malah imej negara di peringkat dunia.
‘‘Jika semua siswazah mempunyai komitmen untuk berusaha bersungguh-sungguh dalam bidang yang diceburi, ia bukan sahaja akan memberi kesan baik kepada diri sendiri dan keluarga tetapi universiti serta negara,” katanya ketika berucap pada majlis Konvokesyen Kali Kesembilan UTP di sini hari ini.
Hadir sama, isteri beliau, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali; Pro Canselor UTP, Tan Sri Mohd. Hassan Marican; Pengerusi Lembaga Pengarah UTP, Datuk Ainon Marziah Wahi dan Rektor UTP, Datuk Dr. Zainal Abidin Kasim.
Dr. Mahathir yang juga bekas Perdana Menteri berkata, adalah penting golongan bijak pandai menggunakan ilmu yang diperoleh untuk tujuan murni.
Katanya, tanpa kesedaran tersebut, dunia akan terus berdepan dengan masalah dan akan lebih banyak lagi rakyat atau negara yang bakal miskin.
Beliau berkata, kejatuhan ekonomi dunia sebelum ini adalah disebabkan oleh tindakan segelintir golongan bijak pandai yang mementingkan diri.
Mereka ini ujarnya, menggunakan kebijaksanaan menerusi sistem tertentu untuk mengaut keuntungan tanpa memikirkan kesannya kepada pihak lain.
Mengambil contoh apa yang telah dilakukan oleh Bernard Madoff, pelabur terkemuka yang didapati bersalah kerana melakukan penipuan, katanya, tindakan menyalahgunakan sistem akhirnya memberi kesan buruk kepada dunia.
Tindakannya telah menyebabkan keseluruhan sistem runtuh dan ramai yang menderita kerana hilang wang pelaburan selain banyak negara menjadi miskin.
‘‘Pihak yang melakukan jenayah ini sangat bijak dan merupakan pelajar cemerlang di universiti, tetapi disebabkan tamak, mereka menipu dan sanggup menyalahgunakan sistem untuk memperkayakan diri sendiri.
‘‘Anda akan bertemu dengan banyak keadaan atau sistem yang memungkinkan wang diperoleh dengan mudah. Anda perlu ingat, kejayaan sebenar adalah berdasarkan kepada idea dan usaha. Itu melambangkan karektor seseorang. Jika berjaya hadapi cabaran, mereka akan kata, inilah hasil UTP,” katanya.
Seramai 1,169 siswazah menerima ijazah masing-masing pada majlis Konvokesyen UTP tahun ini. - Utusan.
0 comments:
Post a Comment