|
|
BACHOK 26 Ogos – Kacang tanah selalunya dikaitkan dengan tanaman sampingan kecil-kecilan yang dijual secara runcit dengan merebus atau menggorengnya dan juga dijadikan putu.
Gambaran perniagaan tradisional yang biasa dilihat di negeri ini ialah ibu-ibu yang menjualnya dalam bakul-bakul di pasar dan di gerai-gerai pinggir jalan.
Selain Kelantan, ia banyak diusahakan Terengganu di samping Kedah dan Perak, namun sejak lebih dua dekad lalu, keluasannya di seluruh negara terus mengecil dan dianggarkan kini sekitar 260 hingga 300 hektar sahaja mengusahakan tanaman itu.
Ia dikatakan berpunca semakin kurangnya kawasan yang sesuai setelah kawasan tradisi diambil alih oleh tanaman jagung manis dan tembikai yang memberikan pulangan lebih baik kepada petani.
Ternyata ia bukanlah tanaman ekonomi yang penting, ironinya permintaan terhadap pelbagai produk kacang tanah terus meningkat setiap tahun di negara ini.
Sebagai contoh pada tahun 2002, pengeluaran dalam negara cuma 1,637 tan, permintaan pula sebanyak 31,933 tan dan bagi memenuhi keperluan, negara terpaksa mengimport kacang tanah dengan nilai lebih RM48 juta.
Belum ditemui angka terbaru namun Malaysia kini dikatakan tergolong antara negara pengimport kacang tanah terbesar selepas Kesatuan Eropah, Kanada dan Indonesia.
Baru-baru ini Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) memperkenalkan varieti baru kacang tanah kepada masyarakat tani yang dinamakan sebagai Margenta sempena warnanya.
Pengenalan Margenta di Stesen Penyelidikan MARDI, Telong, di sini dilihat berpotensi memberi nafas baru bagi menghidupkan kembali tanaman ini dan dijana sebagai industri.
Pelancaran disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Rohani Abdul Karim. Turut hadir Ketua Pengarah MARDI, Datuk Dr. Abd Shukor Abd. Rahman.
Margenta dibawa masuk dari Malawi dan varieti baru ini dihasilkan oleh International Crop Research Institute for Semi-Arid Tropics, di India dengan nama kod CG7.
|
|
MARDI telah menjalankan rantaian kajian pengesahan kesesuaian sejak 2004 hasil daripada tekanan untuk mendapatkan tanaman alternatif bagi menggantikan tembakau di tanah bris terutama di negeri ini.
Dengan tempoh matang yang lebih pendek, daya ketahanan penyakit lebih tinggi, saiz lebih besar hasil dan kualiti lebih baik berbanding varieti tempatan, ia bersesuaian dengan cita rasa pelanggan dan kehendak pengilang.
Margenta menghasilkan 80 peratus lenggai dua biji, 20 peratus lenggai satu biji dan tiada lenggai tiga biji.
Sifat lenggai yang seragam ini memudahkan proses pemilihan dan pengasingan mengikut gred dan kehendak pasaran. Lenggai dua biji lebih sesuai untuk menghasilkan kacang panggang jenis Mengelembu.
Kajian MARDI mendapati tanaman di tanah bris menunjukkan purata hasil lebih tinggi iaitu sehingga 3.87 tan sehektar berbanding tanah lanar sungai (2.62 tan), ia boleh dijadikan tanaman kontang utama menggantikan tembakau.
Di jajahan ini, lebih 6,000 daripada 13,037 hektar sudah tidak lagi ditanam dengan tembakau dan dengan prasarana ladang sedia ada ia boleh dijadikan ladang kacang tanah terbesar.
Dengan masih begitu banyak tanah bris yang belum diusahakan secara optimum, kacang tanah boleh dijadikan salah satu tanaman kontan yang dapat digilirkan dengan keledek dan jagung manis.
Penggiliran tanaman ini dalam jangka masa panjang dapat membantu mengekal dan meningkatkan kesuburan tanah serta mengelak daripada merebaknya serangan perosak dan penyakit.
Rohani berkata, dengan jangkaan impak positif yang tinggi disandarkan kepada varieti baru ini, kemungkinan kedudukan tanaman ini yang tidak layak menerima insentif akan dikaji semula oleh kementerian.
‘‘Keluasan tanaman dan bilangan petani yang terlibat kini adalah kecil, jadi ia tidak tersenarai sebagai tanaman singkat masa yang layak menerima insentif,” ujarnya.
Kacang tanah bukan sahaja digunakan sebagai makanan segar untuk kegunaan domestik tetapi boleh dieksport sebagai produk nilai tambah dalam bentuk produk terproses.
Sisa sampingan dengan pokok yang segar dan daun menghijau semasa tuaian membolehkannya dijadikan bahan makanan ternakan secara segar atau diproses sebagai silaj.
Model kejayaan pemindahan teknologi penanaman ubi keledek vitato oleh MARDI sebelum ini boleh diguna pakai bagi mempromosikan penanaman dan pengeluaran kacang tanah ini.
Ia melibatkan kerjasama semua agensi berasaskan pertanian dan dengan jaminan pasaran serta sumber pendapatan yang setimpal, ia tentunya dapat menarik penglibatan petani. - Utusan
0 comments:
Post a Comment