Oleh Omar Osman
bhnews@bharian.com.my
Lahir usahawan Bumiputera bidang telekomunikasi
SUNGAI PETANI: Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) menggalakkan graduan menganggur supaya menyertai skim usahawan siswazah perantis telekomunikasi yang dikendalikannya dengan kerjasama Celcom Bhd (Celcom).
Pengurus Besar PUNB, Dzulkifli Fadzillah, berkata menerusi program itu setiap siswazah yang terpilih diberi latihan melalui pengedar terpilih Celcom bagi melengkapkan mereka dengan aspek pengurusan perniagaan sebelum menjalankan perniagaan sendiri.
"PUNB memperuntukkan RM15 juta melalui dana kerajaan untuk menyediakan bantuan dan latihan kepada siswazah yang berminat dalam usaha melahirkan lebih ramai usahawan Bumiputera dalam sektor pengedaran produk telekomunikasi.
"PUNB juga menjalin usaha sama dengan empat universiti tempatan, termasuk Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Tenaga Nasional (Uniten) dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL).
Hadir sama, Naib Presiden Wilayah Utara Celcom, Saiful Bahrin Abd Ghaffar.
Beliau berkata, PUNB mensasarkan melatih seramai 2,000 perantis menjelang 2010 dengan tempoh latihan antara enam dan 12 bulan.
Sepanjang menjalani latihan siswazah terbabit dibayar elaun bulanan RM800 pada tiga bulan pertama dan RM1,000 pada bulan keempat sehingga tamat.
"Selepas tamat latihan perantis, mereka diberi pilihan untuk menjadi usahawan PUNB melalui skim Prosper Siswazah dan layak mendapat pembiayaan perniagaan sebanyak RM50,000.
"Setakat ini program Prosper Siswazah disertai 32 siswazah," katanya.
Beliau berkata, program itu mencatat kejayaan membanggakan apabila ada di antara mereka yang mampu mencatat nilai jualan mencecah RM500,000 sebulan.
Sementara itu, Saiful Bahrin berkata, menerusi program itu Celcom menyediakan kemudahan yang diperlukan bagi melahirkan usahawan telekomunikasi dan melalui kerjasama dengan UUM ia disertai 65 pelajar Kolej Perniagaan universiti itu. - Berita Harian.
0 comments:
Post a Comment