Felda bina pasar raya segar

Saturday, August 15, 2009

KUALA LUMPUR 14 Ogos - Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) akan membina sebuah pasar raya segar di ibu kota bagi merealisasikan hasrat kerajaan menjadikan agensi itu pemain utama projek Gedung Makanan Negara.

Pengerusinya, Tan Sri Dr. Yusof Noor berkata, pihaknya yakin pasar raya tersebut berpotensi berkembang dengan menyediakan bekalan makanan segar terutama yang dihasilkan oleh para peneroka sendiri.

Bagaimanapun, katanya, ia masih dalam perancangan dan pihaknya sedang memilih tapak yang sesuai bagi memastikan pasar raya itu berada di lokasi yang strategik.

"Kita telah melantik Jawatankuasa Petugas Khas serta Jawatankuasa Penasihat bagi tujuan tersebut.

"Apa yang kita mahu adalah mewujudkan sebuah pasar raya dan bukannya gerai biasa, jadi kajian dan proses perbincangan perlu dititikberatkan," katanya kepada pemberita pada majlis penutupan Seminar Peneroka 2009 di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Besar Felda, Datuk Ahmad Tarmizi Alias dan Timbalan Pengarah Besarnya, Datuk Dzulkifli Abdul Wahab.

Seminar yang berlangsung semalam dua hari itu disertai lebih 1,000 ketua peneroka dari seluruh negara.

Menurut Yusof, peneroka Felda perlu bersedia menghasilkan pelbagai produk makanan segar untuk dijual di pasar raya tersebut.

Beliau juga menyasarkan kira-kira 24,000 usahawan baru dalam kalangan keluarga peneroka bagi menjayakan hasrat tersebut.

"Jika tiada sambutan dan peneroka tidak memainkan peranan mereka dalam menghasilkan produk, sudah semestinya objektif penubuhan pasar raya tersebut tidak akan tercapai," katanya.

Selain itu, beliau berkata, kewujudan pasar raya segar berkenaan akan memberi pendapatan tambahan kepada para peneroka Felda. - Utusan.

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya