Peniaga diingat tak alibaba lesen

Friday, August 14, 2009

Oleh Nor Azma Laila
norazma@bharian.com.my

DBKL beri amaran kepada penjaja Bazar Ramadan

KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan menarik balik lesen perniagaan Bazar Ramadan sekiranya mendapati ada peniaga menjual atau mengalibabakan lesen berkenaan kepada pihak lain.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Ahmad Fuad Ismail, berkata peniaga juga berdepan tindakan di senarai hitam daripada memohon lesen perniagaan pada masa akan datang.

“Setakat ini, belum ada peniaga yang disenarai hitam tetapi mekanisme itu mungkin akan diguna pakai pada masa akan datang untuk mengelakkan masalah sama berulang.

“Berdasarkan rekod tahun lalu, hanya empat orang peniaga didapati melanggar peraturan ditetapkan menyebabkan lesen mereka ditarik balik,” katanya di sini, kelmarin.

Beliau berkata, DBKL akan mengadakan pemantauan berterusan bagi memastikan masalah menyewa atau menjual tapak kepada orang lain tidak berlaku.

“Bagi memudahkan pemantauan, kita juga sudah mensyaratkan pemohon mengisi borang permohonan dengan menyertakan tiga nama ahli keluarga dan tiga keping gambar bagi memastikan individu yang menjalankan perniagaan adalah orang yang membuat permohonan dengan DBKL,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Fuad berkata, DBKL mengeluarkan 6,655 lesen untuk peniaga bazar Ramadan tahun ini di 92 lokasi sekitar ibu kota termasuk 485 lesen bagi dua kawasan paling popular iaitu di Lorong Tuanku Abdul Rahman (LTAR) dan Jalan Masjid India (JMI).

“Daripada jumlah itu, hanya 2,463 lesen peniaga diuruskan DBKL manakala selebihnya dikendalikan organisasi luar yang terdiri daripada persatuan, pertubuhan dan koperasi yang berorientasikan kebajikan di 75 lokasi sekitar Kuala Lumpur.

“Sebanyak 92 tapak lagi iaitu 44 di JMI manakala 48 lagi di LTAR diperuntukkan kepada Kementerian Wilayah Persekutuan untuk menempatkan persatuan penjaja, pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) dan ibu tunggal.

“Bagaimanapun, kita masih menunggu senarai daripada pejabat Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin mengenai senarai peniaga yang akan ditempatkan di kawasan berkenaan,” katanya.

Tempoh perniagaan bazar Ramadan tahun ini adalah dari 22 Ogos hingga 20 September 2009.

Beliau berkata, DBKL memberikan diskaun 50 peratus pada caj lesen bagi kawasan yang diuruskannya selaras arahan dikeluarkan kerajaan sebelum ini. Kadar itu bagaimanapun tidak termasuk bazar Ramadan yang dikendali pihak lain.

“Kadar lesen yang dikenakan DBKL bagi LTAR dan JMI adalah antara RM170 dan RM785 mengikut keluasan petak manakala kawasan lain antara RM148 dan RM215. Kadar lesen di kawasan diuruskan persatuan pula ialah antara RM170 dan RM410,” katanya. - Berita Harian.

1 comments:

Sila datang melawat di desa permai,taman dato ahmad razali, ampang
Peniaga tempatan banyak gulung tikar akibat peniaga asing & ada kedai jahit di ALIBABA

Mohon datang melawat

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya