Didik murid benci dadah

Wednesday, August 19, 2009


SEBAHAGIAN daripada murid sekolah kebangsaan zon tengah yang menyertai Program Intim di Kem 7 Rejimen Renjer Diraja (RRD) 4 Mekanis, Mentakab, baru-baru ini.


TEMERLOH 18 Ogos - Usaha menjadikan sekolah bebas dadah menjelang tahun 2015 boleh dicapai melalui program kesedaran membabitkan kanak-kanak dan pelajar bermula di peringkat rendah lagi.

Bagi mencapai matlamat tersebut, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) bekerjasama dengan Jabatan Pelajaran Negeri Pahang (JPNP) melancarkan Program Kecemerlangan Intelek Murid (Intim).

Program tersebut bertujuan mendidik mereka supaya menolak dan membenci dadah yang diisytiharkan sebagai musuh nombor satu negara sejak tahun 1983 lagi.

Bagi peringkat zon tengah di Pahang, Intim membabitkan murid tahun lima dari sekolah-sekolah di Temerloh, Maran, Bera dan Jerantut.

Seramai 137 pelajar dari 23 sekolah rendah dipilih mengikuti program itu di Kem 7 Rejimen Renjer Diraja (RRD) 4 Mekanis, Mentakab selama tiga hari tiga malam baru-baru ini.

Antara modul yang diajar dalam program itu ialah pendidikan pencegahan dadah, penilaian jati diri dan peningkatan harga diri, merempuh halangan dan litar tali tinggi.

Hasil tiga hari berkampung di Kem 7 RRD itu, murid terbabit menunjukkan sikap positif dan tidak mahu terbabit dengan aktiviti penagihan dadah bahkan mahu menjauhkan diri daripada terjebak dengan gejala penagihan najis itu.

Beberapa murid yang ditemui memberitahu, program tersebut sangat berfaedah kerana ia mampu membentuk keyakinan diri dan bersikap positif untuk mencapai kecemerlangan.

Muhammad Shakir Khalafee, 11, berkata, program tersebut mendidik mereka menjadi pelajar yang berjaya bukan saja dalam pelajaran tetapi turut membentuk dirinya menjadi pelajar yang mempunyai keyakinan tinggi.

"Kami dilatih menjadi pemimpin untuk berbakti kepada negara dan masyarakat. Di kem ini juga kami diberitahu mengenai bahaya mengambil dadah dan kesannya terhadap diri sendiri serta keluarga dan negara.

"Apabila dewasa nanti, saya juga tidak mahu terlibat dengan penagihan dadah kerana tidak ada masa depan dan dibenci masyarakat," kata Muhammad Shakir dari Sekolah Kebangsaan Bukit Bota, Chenor, Maran.

Selain itu, dia turut seronok apabila didedahkan dengan pelbagai aktiviti dan permainan yang menarik seperti panjat tali tinggi.

Murid Sekolah Kebangsaan Taman Jaya, Temerloh, Azreen Razak, 11, berkata, program tersebut berjaya memberi kesedaran kepada mereka betapa bahayanya ancaman dadah.

"Saya tidak mahu menghisap dadah kerana kalau terlibat sukar untuk mencari jalan keluar. Dadah boleh membuat kita hidup merana ibarat mayat hidup.

"Program seperti ini memberi kesedaran kepada saya dan rakan-rakan agar menjauhi diri daripada dadah dan saya rasa program ini perlu disertai semua pelajar kerana ia sangat berkesan," ujar Azreen.

Rakannya dari Sekolah Kebangsaan Seri Tualang, Temerloh, Nadia Razali, 11, memberitahu, ceramah oleh AADK sangat berkesan dan memberi kesedaran kepada peserta agar membenci najis dadah.

"Sebelum ini kami hanya dengar bahaya dadah tetapi tidak tahu apa sebenarnya dadah tetapi setelah mendengar penerangan AADK dan JPNP, baru kami faham.

"Seperti rakan lain, saya juga tidak mahu terlibat dengan penagihan dadah dan saya rasa bertuah diberi peluang menyertai kem ini. Ia memupuk semangat keyakinan serta jati diri agar menjadi warga negara yang bermaruah dan bertanggungjawab," kata Nadia.

Sementara itu, Penolong Pegawai AADK Cawangan Temerloh, Aidil Bakri menjelaskan, Intim bertujuan menguatkan integriti dan jati diri pelajar di peringkat sekolah.

Katanya, Intim adalah kesinambungan daripada program sebelum ini yang dikenali sebagai 'Pintar' tetapi pengisiannya tetap sama iaitu mendidik pelajar menjauhi dan membenci dadah.

"AADK dan JPNP berharap program ini memberi kesedaran kepada pelajar dan ibu bapa supaya membebaskan keluarga dan tempat kerja daripada pengaruh dadah," katanya.

Tambahnya, bagi mengelakkan mereka terperangkap dengan gejala penagihan dadah apabila dewasa nanti, murid-murid perlu ditanam dengan keyakinan diri supaya tidak mudah terpengaruh dengan gejala dan anasir yang cuba mengheret mereka menjadi penagih dadah.

"Daripada kajian AADK dan beberapa lagi agensi kerajaan mendapati antara punca golongan muda mudah terperangkap dalam penagihan dadah kerana tidak mempunyai integriti dan daya ketahanan diri.

"Dalam zaman yang serba canggih ini pelajar tidak lagi boleh berpeluk tubuh sebaliknya perlu berusaha meningkatkan ketahanan diri dan kewibawaan menolak gejala penagihan dadah," kata Aidil.

Tanpa ilmu, ujarnya, pelajar terutama orang Melayu akan tercicir dan berhadapan pelbagai cabaran sama ada dalam bidang ekonomi mahupun politik.

Sehubungan itu, Aidil berharap pelajar terbabit dapat mengamalkan nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian berasaskan program Intim agar menjadi insan yang bertanggungjawab dan berjasa kepada negara serta bebas daripada pengaruh dadah.

"AADK dan JPN berharap program ini menjadikan usaha memerangi dadah di kalangan pelajar dan belia sebagai agenda utama mengelak lebih banyak belia terjebak dengan dadah di masa depan," katanya. - Utusan Malaysia.

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya