KUALA LUMPUR 28 Ogos - Kementerian Pengajian Tinggi yakin sasaran lima peratus hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang dilakukan oleh institusi pengajian tinggi (IPT) akan dikomersialkan dapat dicapai pada tahun depan.
Timbalan Menterinya, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, pencapaian tersebut akan meningkat kepada 10 peratus menjelang 2020.
Katanya, Universiti Malaya (UM) dan Universiti Sains Malaysia (USM) telah berjaya mendahului sasaran tersebut apabila lima peratus daripada hasil R&D universiti itu sudah dikomersialkan.
"UM dan USM telah membuktikan keupayaan mereka dengan mendahului sasaran masa yang diletakkan oleh kerajaan. Ini menunjukkan hasil R&D yang dijalankan selari dengan keperluan pasaran.
"Kami yakin sasaran sekurang-kurangnya lima peratus hasil R&D IPT dapat dikomersialkan pada tahun hadapan akan menjadi kenyataan kerana universiti lain juga sedang berusaha keras ke arah itu," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Terdahulu, Saifuddin merasmikan penubuhan Institut Penyelidikan Kanser UM dan menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara UM dengan University of Cambridge dan Yayasan Inisiatif Penyelidikan Kanser (CARIF).
Tambah Saifuddin, sehingga Jun lalu sebanyak 12,522 R&D telah dilakukan oleh 20 IPT dan 543 hasil daripada penyelidikan tersebut telah pun berjaya dikomersialkan.
Katanya, sebanyak 313 lagi hasil penyelidikan sedia untuk dipasarkan dalam masa terdekat.
Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, sasaran lima peratus adalah munasabah memandangkan tidak semua R&D yang dilakukan oleh IPT bertujuan untuk dikomersialkan, sebaliknya, ia juga dilaksanakan bagi tujuan akademik.
Mengenai penubuhan Institut Penyelidikan Kanser itu, beliau berharap, ia akan menjadi pusat penyelidikan terulung di rantau ini.
"Saya berharap institut ini dapat memainkan peranan bukan sahaja sebagai sebuah pusat penyelidikan kanser tetapi juga perlu bersedia untuk meletakkan diri sebagai institusi penyelidikan terulung di rantau ini," katanya. - Utusan
0 comments:
Post a Comment