Program kemahiran automobil

Sunday, August 23, 2009

IPOH 22 Ogos - Lepasan sekolah di negeri ini yang belum bekerja atau gagal menempatkan diri ke institusi pengajian tinggi (IPT) dipelawa menyertai program perantis bengkel automobil.

Program kendalian Persatuan Pemilik-Pemilik Bengkel Automobil Perak (PAWOA) itu akan melatih golongan belia dalam pengkhususan automobil bagi mendapatkan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap Tiga.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Pengangkutan Awam negeri, Datuk Dr. Mah Hang Soon berkata, program perantis tersebut akan membantu mengatasi isu kekurangan juruteknik mahir dan meningkatkan industri automobil negara.

''Isu kekurangan tenaga mahir dalam bidang automobil bukanlah perkara baru di negara ini. Jadi kita perlu meyakinkan golongan muda mengenai kepentingan industri automobil.

''Dengan adanya program sebegini, ia akan memberi peluang kedua kepada golongan belia yang gagal untuk melanjutkan pelajaran meningkatkan kemahiran mereka.

''Sijil kemahiran sangat penting kepada mereka untuk bersaing dalam pasaran kerja," katanya kepada pemberita selepas melancarkan laman web PAWOA di sini hari ini.

Menurut Hang Soon, program latihan yang menjurus pada kemahiran dalam bidang automobil sangat penting kerana tenaga mahir dalam bidang tersebut masih belum mencukupi.

Sementara itu, Presiden PAWOA, Kong Wai Kwong berkata, program perantis bengkel automobil tersebut akan bermula pada bulan Oktober dengan kerjasama beberapa buah sekolah. - Utusan

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya