KUALA LUMPUR 27 Ogos – Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, dua pakej rangsangan ekonomi yang diumumkan kerajaan sebelum ini berjaya membantu mengukuhkan semula ekonomi negara.
Menurut Perdana Menteri, waktu-waktu sukar ekonomi negara sudah berlalu dan kini memasuki fasa pemulihan.
Kata beliau, tindakan kerajaan memperkenalkan dua pakej rangsangan ekonomi berjumlah puluhan bilion ringgit terbukti sebagai satu langkah yang tepat.
‘‘Kedua-dua pakej rangsangan ekonomi yang diumumkan kerajaan benar-benar menyumbang dalam memulihkan prestasi ekonomi negara.
‘‘Nampaknya Malaysia berada pada landasan yang betul dalam usaha tindakan pemulihan ekonomi,’’ katanya.
Najib berkata demikian ketika diminta mengulas Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku kedua negara yang mencatatkan penguncupan 3.9 peratus berbanding penguncupan 6.2 peratus pada suku tahun sebelumnya.
Beliau ditemui pemberita selepas melawat dan mengadakan pertemuan tertutup di ibu pejabat Forum Ekonomi Islam Sedunia (WIEF) di Kompleks Antarabangsa di sini hari ini.
Kerajaan mengumumkan pakej rangsangan ekonomi pertama berjumlah RM7 bilion pada November tahun lalu manakala pakej kedua bernilai RM60 bilion Mac tahun ini.
Ditanya sama ada sebarang langkah akan diambil berkaitan pemberian subsidi kepada rakyat, Perdana Menteri menjawab:
‘‘Tunggulah sehingga bajet diumumkan. Saya sekarang sedang giat bekerja untuk bajet.’’ - Utusan
0 comments:
Post a Comment