Peluang penganggur bina kerjaya

Friday, August 28, 2009

KUALA LUMPUR 27 Ogos - Jika anda masih menganggur, jangan lepaskan peluang untuk membina kerjaya dengan mengikuti program Train and Place anjuran Kementerian Sumber Manusia.

Program latihan sebelum diberi pekerjaan itu terbuka kepada penganggur yang dibuang kerja, belia lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan graduan yang masih menganggur.

Pengarah Bahagian Penyelidikan dan Perancangan Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung, Rahmat Ismail berkata, sebanyak 24,937 peluang latihan daripada 17 kategori disediakan untuk peserta mengikuti latihan jangka pendek itu.

''Peserta diberi peluang memilih bidang yang diminati untuk mengikuti kursus sebelum memulakan pekerjaan.

''Semasa latihan peserta akan turut diberi elaun sebanyak RM500 hingga RM800 sebulan mengikut kategori iaitu bujang, berkahwin dan yang mempunyai anak," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.

Beliau memberitahu, peserta yang ingin menyertai program ini perlu berdaftar di bawah JobsMalaysia menerusi laman web sebelum membuat permohonan.

Jelasnya, bagi penganggur yang dibuang kerja tiada had umur ditetapkan kepada peserta namun mereka perlu bersedia ketika ditawarkan kerja sebaik tamat latihan.

''Program ini dianjur bagi menangani masalah penganggur yang diberhenti kerja semasa krisis ekonomi global dulu.

''Selain itu ia juga dapat memberi latihan kemahiran kepada graduan dan belia menganggur sebagai persediaan sebelum mereka diterima kerja,'' katanya.

Tambahnya, setakat ini kementerian meluluskan sebanyak 263 permohonan sebelum tarikh tamat penyertaan pada 7 September ini. - Utusan

1 comments:

AbeNeO said...

Program ni sgt baik utk dteruskn. Mohon + program pluang jd Usahawan Tani.

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya