40,000 belia sertai Rakan Muda Ramadan

Friday, August 28, 2009


Razali Ibrahim bertanya sesuatu kepada salah seorang kanak-kanak penerima bantuan sempena Program Rakan Muda Ramadan peringkat negeri Pahang di Masjid Nurul Iman Kampung Sungai Gau, Temerloh, kelmarin.


TEMERLOH 27 Ogos - Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyasarkan seramai 40,000 belia di seluruh negara menyertai program Rakan Muda Ramadan sepanjang bulan Ramadan ini bagi mendekatkan golongan itu dengan masjid.

Timbalan Menterinya, Datuk Razali Ibrahim berkata, untuk tujuan itu KBS memperuntukkan sebanyak RM1.5 juta untuk menjayakan program itu di 1,000 masjid dan surau terpilih di seluruh negara.

Katanya, Rakan Muda Ramadan peringkat kebangsaan telah dilancarkan di Muar, Johor baru-baru ini dan Pahang menjadi negeri kedua selepas Pulau Pinang melancarkan program itu di peringkat negeri.

''Rakan Muda Ramadan termasuk dalam lapan gaya hidup Rakan Muda iaitu Rakan Masyarakat membabitkan belia dan remaja menjalankan aktiviti berfaedah yang membentuk sahsiah positif.

''Pengisian Rakan Muda Ramadan ini ialah tadarus dan khatam al-Quran, tazkirah, ceramah agama, solat terawih dan lain-lain yang bertujuan meningkatkan kefahaman Islam kepada generasi muda,'' katanya.

Razali yang juga Naib Ketua Pemuda UMNO menyatakan demikian kepada pemberita selepas melancarkan Rakan Muda Ramadan Peringkat Negeri Pahang 1430 Hijrah di Masjid Nurul Iman Kampung Sungai Gau Baru di sini, semalam.

Turut hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Teknologi Maklumat dan Inovasi Pahang, Datuk Mohd. Sharkar Shamsuddin; Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Warisan, Pembangunan Keluarga dan Hal Ehwal Wanita negeri, Datuk Shafik Fauzan Sharif; Ketua Pemuda UMNO Pahang, Abu Jimi Samat dan Ketua Pemuda UMNO Temerloh, Megat Asri Abdul Jalil.

Menurut Razali, program Rakan Muda Ramadan sudah dilaksanakan sejak 15 tahun lepas dan memberi impak yang besar terhadap perkembangan syiar Islam di kalangan belia yang merupakan pewaris negara.

Katanya, pada tahun ini sambutan Rakan Muda Ramadan diberi 'suntikan baru' dengan menambah aktiviti iaitu majlis penyerahan bantuan amal kepada golongan memerlukan.

Tambahnya, sasaran penerima bantuan amal ini ialah anak yatim, warga emas, orang kurang upaya (OKU), orang daif, ibu tunggal dan lain-lain bagi membantu mereka menjalani ibadah sepanjang Ramadan.

''Natijah tersirat daripada program ini ialah untuk menarik golongan remaja dan belia ke masjid bersama-sama rakan mereka mendalami ajaran Islam seperti sembahyang berjemaah dan bertadarus,'' katanya.

Tegasnya, program Rakan Muda Ramadan ini juga bertujuan mengajak generasi muda dan belia mensyukuri dan meraikan kehadiran bulan Ramadan dengan membanyakkan ibadah.

Di samping itu ujarnya, program ini dapat mewujudkan lembaran hubungan baru antara pemimpin belia beragama Islam dan menjadikan masjid sebagai medan pertemuan rasmi.

Razali optimis badan atau jawatankuasa masjid dan surau terpilih yang diberi tanggungjawab, mampu menjayakan program Rakan Ramadan itu di kawasan masing-masing dengan baik. - Utusan

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya