Cegah awal pelajar terlibat jenayah

Tuesday, August 18, 2009

SEREMBAN 16 Ogos - Pendedahan awal tentang elemen-elemen jenayah dan pencegahannya kepada pelajar sekolah diyakini mampu menghalang mereka daripada terjerumus dalam aktiviti melanggar undang-undang.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Osman Salleh berkata, matlamat itu boleh dicapai menerusi penganjuran program Bulan Pencegahan Jenayah di sekolah.

Katanya, kegiatan jenayah serta masalah disiplin membabitkan pelajar sekolah berupaya dibendung menerusi program berkenaan.

''Justeru, pihak polis akan sentiasa komited membantu merealisasi hasrat kerajaan untuk mewujudkan generasi pelajar sekolah yang memilih gaya hidup bebas jenayah," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan program Bulan Pencegahan Jenayah Peringkat Negeri Sembilan 2009 di Dewan Kompleks Sekolah Wawasan, Seremban 2, dekat sini semalam.

Turut hadir Pengerusi Yayasan Pencegahan Negeri Sembilan, Datuk Goh Siow Huat dan Pengarah Pelajaran negeri, Datuk Abdullah Mohammad.

Beliau menambah, selain pihak sekolah, kerjasama agensi-agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta setiap anggota masyarakat diperlukan bagi mencapai matlamat tersebut.

Sementara itu, dalam ucapannya, Siow Huat berkata, pelaksanaan program Bulan Pencegahan Jenayah membabitkan pelajar sekolah menunjukkan kesungguhan kerajaan membanteras jenayah hingga ke peringkat akar umbi.

Beliau memberitahu, para pelajar turut digalak memberi sumbangan terhadap usaha murni itu melalui pembabitan sebagai ahli Rakan Cop serta ahli Kelab Pencegahan Jenayah di sekolah masing-masing. - Utusan.

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya