Jual burger beri pulangan besar

Tuesday, January 5, 2010

JOHOR BAHRU 3 Jan. - Menjual burger tidak boleh lagi dilabel sebagai perniagaan sampingan kerana ia mampu memberi pulangan besar kepada peniaga jika dilakukan dengan sistematik.

Pengarah Urusan Belisinnie Fast Food Holdings Sdn. Bhd., Razali Raja Jamaluddin berkata, anak muda tempatan yang berminat dalam perniagaan itu digalak menceburi bidang tersebut.

Sehubungan itu, syarikat makanan segera bumiputera tersebut berhasrat merekrut anak muda yang berminat menerusi perniagaan francais di bawah jenama Long Burger.

Menurut Razali, 44, menjual burger bukan sekadar bergantung pada cara pembuatan tetapi ia juga dibantu dengan sikap peniaga yang mengutamakan disiplin, kebersihan dan berbudi bahasa.
"Menerusi francais Long Burger, kami akan membantu mereka menyediakan sebuah gerai burger di tempat strategik.



"Selain itu, kami juga akan membantu peniaga tersebut mendapatkan pinjaman dan memberi kursus yang bersesuaian," katanya ketika ditemui di pejabatnya di Taman Damansara Aliff di sini kelmarin.

Beliau yang mesra dengan panggilan Joe dan sudah 26 tahun membabitkan diri dalam perniagaan burger berkata, pihaknya akan memantau peniaga berkenaan bagi memastikan mereka menjaga kualiti dan imej Long Burger.

Katanya, menerusi perniagaan francais, peniaga akan dibekalkan sebuah gerai, 12 jenis menu burger termasuk kentang goreng, wedges dan nugget.

"Kami menawarkan burger lembu, ayam, arnab, burung unta, rusa dan kambing selain empat burger istimewa iaitu burger ole, euro, samba dan vivo.

"Empat burger itu menggunakan mayonis yang dicipta khas untuk jenama Long Burger dan ia tidak boleh didapati di gerai atau kedai makanan segera yang ada," katanya.

Dalam pada itu, katanya, modal yang diperlukan untuk menceburi perniagaan francais Long Burger adalah sebanyak RM15,000.

Sehubungan itu, Razali menyasarkan penyertaan 200 usahawan baru di sekitar negeri ini dan Lembah Klang menyertai program perniagaan francais Long Burger bagi tahun ini.

Katanya, bagi yang berminat menyertai rangkaian perniagaan Long Burger boleh menghubungi pejabat di talian 07-2355782 atau 03-27110501 untuk keterangan lanjut.

Menurut anak sulung daripada lima beradik itu, selain mengusahakan peniaga rangkaian Long Burger syarikat berkenaan turut menjadi pembekal burger menerusi D Sinnie Frozen Food Sdn. Bhd. - Utusan

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya