RISDA Melaka agih RM92,000 dividen

Wednesday, August 26, 2009

MELAKA 25 Ogos - Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Getah (RISDA) Melaka telah mengagihkan dividen sebanyak RM92,000 kepada kira-kira 71 peserta Tanam Semula Komersial (TSK) di seluruh negeri pada tahun ini.

Pengarahnya, Md. Tahir Osman berkata, peruntukan dividen tersebut membabitkan keluasan tanaman pokok getah dan kelapa sawit seluas kira-kira 99 hektar.

Menurutnya, RISDA berharap melalui pemberian wang dividen tersebut akan dapat dimanfaatkan sewajarnya oleh setiap peserta terutama dalam meningkatkan hasil tanaman kedua-dua projek pada masa depan.

''RISDA berharap setiap peserta sudah menetapkan sasaran bagi menghasilkan lebih banyak tanaman pokok getah dan kelapa sawit tahun ini.

''Melalui komitmen ini, ia dapat membantu peserta meningkatkan pendapatan bulanan mereka terutama dalam keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu pada masa ini," katanya ketika berucap menyampaikan Sumbangan Dividen RISDA kepada peserta pekebun kecil Kampung Melekek Dalam, Alor Gajah di sini, baru-baru ini.

Selain itu, Mohd. Tahir mengingatkan golongan pekebun kecil agar lebih bertanggungjawab dan komited dalam menghasilkan mutu pengeluaran tanaman agar ia menepati kehendak pasaran global.

Katanya, RISDA akan terus memantau segala usaha dan juga gerak kerja yang dilaksanakan setiap pekebun kecil bagi memastikan produk tanaman khususnya getah dan kelapa sawit tidak mengundang masalah.

Menurutnya, peserta juga digalak agar sering berjumpa dengan pegawai RISDA yang ditugaskan bagi tujuan mengawal selia TSK bagi membolehkan mereka mengetahui perkembangan dan hasil projek tanaman.

''Setakat ini, kami amat berpuas hati dengan komitmen yang ditunjukkan para peserta dan mereka mengikut segala nasihat dan juga garis panduan ditetapkan," katanya.

Beliau turut berharap peserta dapat menggunakan dividen yang diterima ke arah tujuan lebih baik dan merancang memajukan projek tanaman yang diusahakan. - Utusan

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya