Perbanyakkan medan ikan bakar Serkam

Thursday, August 13, 2009

MELAKA 11 Ogos - Kerajaan negeri sentiasa menggalakkan usaha mana-mana pihak untuk mewujudkan medan ikan bakar baru di Serkam, Jasin di sini yang terkenal sebagai pusat penghasilan ikan segar.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Pembangunan Desa negeri, Datuk Mohamad Hidhir Abu Hasan berkata, pihaknya ada menerima beberapa cadangan untuk mewujudkan medan ikan bakar baru termasuk di jeti ikan bakar Kuala Sempang.

Beliau berkata, usaha itu bersesuaian dengan imej dan lokasi Kampung Sempang yang terkenal dengan keluaran hasil laut segar sekali gus sesuai untuk produk ikan bakar.

"Kerajaan negeri tiada masalah untuk meluluskan permohonan itu kerana selain membantu menambah produk pelancongan negeri, ia juga membantu penduduk kampung menambah pendapatan dengan membuka kedai ikan bakar,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Katanya, kewujudan medan ikan bakar di Serkam akan menambah produk pelancongan sedia ada di Jasin, sekali gus menepati sebahagian aspek Jasin Lestari 2020.

Beberapa medan ikan bakar di Jasin cukup terkenal antaranya di Umbai, jeti Anjung Batu selain medan ikan bakar di Serkam. - Utusan.

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya