Peluang jana pendapatan

Sunday, August 23, 2009


Najib Tun Razak membeli juadah berbuka puasa di gerai peniaga kecil, Zakaria Jamalludin (kiri) sambil diperhatikan oleh isterinya, Rosmah Mansor dan Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin (tiga dari kanan) ketika melawat bazar Ramadan berdekatan Masjid Jamek Kampung Baru, Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 22 Ogos - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, bazar Ramadan merupakan konsep perniagaan yang terbaik untuk membantu para peniaga kecil menjana pendapatan mereka.

Menurut Perdana Menteri, peluang keemasan yang terbuka itu perlu diambil oleh para peniaga terutamanya peniaga kecil setiap kali menjelangnya bulan Ramadan.

"Dalam usaha membantu peniaga kecil, kerajaan telah mengambil langkah untuk mengurangkan lesen perniagaan pada tahun ini. Para peniaga hanya perlu membayar RM14 untuk tempoh sebulan Ramadan.

"Walaupun peniaga mencatat keuntungan yang lebih berbanding nilai bayaran yang dibuat, kerajaan tetap tidak akan mengenakan bayaran yang tinggi kepada mereka.

"Kerajaan amat menggalakkan kewujudan konsep bazar Ramadan bagi memberi peluang perniagaan kepada rakyat untuk menjana pendapatan mereka," ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengagihkan bubur lambuk anjuran Kementerian Pelancongan dengan kerjasama Petronas dan Maggi kepada orang ramai di Masjid Jamek Kampung Baru di sini hari ini.

Selain itu, Perdana Menteri dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor turut meluangkan masa hampir satu jam meninjau gerai-gerai jualan di sepanjang Jalan Raja Alang.

Mengiringi Najib pada lawatan itu ialah, Menteri Wilayah Persekutuan, Senator Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin.

Najib berkata, kewujudan bazar Ramadan juga memberi peluang kepada orang ramai untuk mendapatkan juadah berbuka puasa dengan harga berpatutan sekali gus mewujudkan suasana yang meriah.

Sehubungan itu, katanya, para peniaga perlu bertimbang rasa dengan meletakkan harga yang berpatutan.

Dalam pada itu Perdana Menteri berkata, kewujudan bazar Ramadan dapat membantu mempertingkat dan mempromosikan industri pelancongan negara.

"Kerajaan melalui Kementerian Pelancongan akan terlibat untuk mempromosikan bazar Ramadan bagi menjadikannya medium menarik kehadiran pelancong," katanya.

Ditanya juadah kegemaran untuk berbuka puasa, Najib berkata, beliau akan membeli macam-macam makanan kerana apabila Ramadan semuanya terasa sedap.

Dalam pada itu, Perdana Menteri turut bertembung dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang turut singgah di bazar tersebut bagi membeli juadah berbuka puasa.

Dr. Mahathir ketika ditemui berkata, walaupun dalam keadaan krisis kewangan dan penularan wabak selesema babi atau influenza A (H1N1), bazar Ramadan tetap meriah.

Beliau yang hadir dengan memakai penutup hidung dan mulut berkata, orang ramai dan peniaga juga perlu memakainya untuk keselamatan diri.

"Saya datang untuk beli juadah kegemaran saya iaitu cucur udang," katanya. - Utusan

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya