Pastikan graduan perubatan berdaya saing

Wednesday, August 19, 2009

PETALING JAYA 18 Ogos - Semua universiti dan kolej yang menawarkan kursus perubatan perlu memastikan graduan dilahirkan berkemampuan menjadi pengamal perubatan berdaya saing serta beretika.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, profesion perubatan bertanggungjawab memastikan penjagaan kesihatan yang diberi pada tahap kualiti terbaik.

Sehubungan itu, katanya, kualiti perkhidmatan yang baik perlu dititikberatkan supaya masyarakat boleh mencapai tahap kesihatan setanding penduduk di negara maju.

"Untuk mencapai matlamat itu, pihak kolej atau universiti perlu memastikan graduan dihasilkan berkebolehan menjadi pengamal perubatan berdaya saing dan beretika yang mampu menghadapi cabaran dalam bidang tersebut.

"Mereka harus boleh memberi perkhidmatan perubatan yang selamat, efektif, bersesuaian, efisien dan berpaksikan pesakit," katanya.

Beliau berucap demikian pada majlis menandatangani memorandum perjanjian penggunaan kemudahan Kementerian Kesihatan untuk latihan pelajar perubatan Kolej Universiti Malaysian Allied Health Sciences Academy (MAHSA), Universiti Darul Iman Malaysia (UDM) dan Universiti Sains dan Pengurusan (MSU) di Kolej Universiti MAHSA di sini hari ini.

Teks ucapannya dibacakan Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seri Dr. Mohd. Nasir Mohd. Asraf.

Memorandum perjanjian itu ditandatangani Mohd. Nasir dan Naib Canselor MAHSA, Professor Datuk Dr. Megat Burhainuddin Megat Abdul Rahman.

Ia disaksikan Presiden Perbadanan Putrajaya, Tan Sri Samsudin Osman dan Pro Canselor MAHSA, Datuk Dr. Mohamed Haniffa Abdullah.

Menurut Tiong Lai, walaupun hampir 52 tahun merdeka tetapi bilangan doktor di negara ini terutama sektor awam masih perlu ditambah bagi menampung keperluan rakyat.

Katanya, pada tahun lalu terdapat 25,102 doktor di negara ini menjadikan nisbah doktor kepada penduduk ialah 1: 1,105 berbanding nisbah 1:600 yang disarankan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

"Sehubungan itu, kerajaan telah membenarkan penubuhan lebih banyak institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) menjalankan kursus perubatan," katanya.

Beliau berkata, sejak 2000 hingga sekarang, bilangan IPTA yang menawarkan kursus perubatan di negara ini bertambah dari enam kepada 10 buah manakala IPTS meningkat dari empat kepada 15 buah.

Selain itu, katanya, Majlis Perubatan Malaysia (MMC) telah mengiktiraf 366 ijazah perubatan dari dalam dan luar negara bagi menampung keperluan doktor. - Utusan Malaysia.

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya