Usahbertelagah - Ali Rustam

Monday, August 31, 2009

MELAKA 30 Ogos - Rakyat perlu merenung sejenak sehingga bila mereka dapat mengecapi erti kemerdekaan dan kemakmuran negara ini, jika asyik bertelagah sesama sendiri, kata Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam.

''Dalam keadaan sekarang, kita tidak boleh lagi terus bertelagah sesama sendiri kerana bagi menghadapi pelbagai cabaran mendatang, (ia) memerlukan setiap rakyat bersatu dan berganding bahu,'' katanya dalam perutusan sempena ulang tahun kemerdekaan Malaysia ke-52 peringkat negeri Melaka, esok.

Mohd. Ali berkata, krisis ekonomi global berikutan lonjakan harga minyak dan ditambah pula krisis makanan yang turut menghambat kesenangan serta kemakmuran dinikmati rakyat negara ini perlu ditangani bersama dan boleh dijadikan iktibar untuk rakyat terus berjimat cermat setiap masa.

Beliau berkata, rakyat pelbagai kaum hendaklah menghayati dan menginsafi pentingnya perpaduan sebagai benteng pertahanan negara bagi menghadapi sebarang ancaman dari dalam dan luar negara.

''Setiap cabaran dapat diharungi jika rakyat terus bersatu dan berganding bahu, dengan azam serta tekad untuk melaksanakan tanggungjawab masing-masing.

''Perpaduan adalah tunjang kepada kestabilan politik, keharmonian sosial dan keutuhan daya saing ekonomi negara,'' katanya.

Beliau berkata, sejarah cukup banyak menunjukkan betapa perpecahan, persengketaan dan perasaan dengki yang menebal antara satu sama lain boleh meruntuhkan sesebuah negara atau empayar seperti berlaku pada zaman Kesultanan Melayu Melaka dan empayar Rom.

Majlis perhimpunan sempena Sambutan Ulang Tahun Kemerdekaan Ke-52 peringkat negeri Melaka akan diadakan di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh di sini, secara sederhana tetapi dengan penuh semangat kemerdekaan, bermula pukul 8 pagi esok.

Antara pengisian yang diatur ialah perarakan masuk Jalur Gemilang, menaikkan bendera Jalur Gemilang, bacaan ikrar, teriakkan tujuh kali merdeka, bacaan puisi, nyanyian lagu-lagu patriotik dan persembahan seni mempertahan diri berkonsepkan 1Malaysia. - Utusan

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya