Puteri UMNO, Utusan Malaysia anjur program persediaan UPSR

Monday, August 17, 2009


Noh Omar (kiri) diiringi Ahmad Abdul Hamid (tengah) dan Salbiah Shaari (kanan) melihat seorang pelajar menjawab kertas soalan peperiksaan percubaan UPSR di Dewan Sekolah Menengah Datuk Harun, Tanjung Karang, Selangor, kelmarin.

TANJONG KARANG 16 Ogos - Seramai 170 murid kawasan Parlimen Tanjong Karang semalam berpeluang meningkatkan persediaan menghadapi peperiksaan dengan menyertai Program Cemerlang Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2009 di sini.

Program sehari yang dianjurkan oleh Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Tanjong Karang dengan kerjasama Utusan Malaysia itu diadakan sebagai salah satu usaha untuk meningkatkan pencapaian murid-murid di kawasan Parlimen tersebut dalam UPSR.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Noh Omar berkata, program itu diharapkan dapat melahirkan lebih ramai murid cemerlang UPSR di kawasan Tanjong Karang kerana sebelum ini bilangan mereka yang cemerlang dalam peperiksaan itu agak ketinggalan berbanding di kawasan bandar.

Beliau berkata, keadaan sedemikian didapati tidak seimbang kerana murid di kawasan bandar dan luar bandar seperti di Tanjong Karang menerima kemudahan serta kaedah yang sama dalam pembelajaran di sekolah.

''Jadi, dengan adanya program seperti ini, kita harap ia akan membantu meningkatkan kesedaran murid-murid termasuklah meningkatkan kemahiran mereka dalam menjawab soalan peperiksaan.

''Sebelum ini, mereka mungkin kurang didedahkan dengan teknik menjawab soalan UPSR dengan cara yang berkesan. Jadi, dengan adanya program ini saya yakin mereka mampu mencapai keputusan yang baik dalam peperiksaan nanti,'' katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Program Cemerlang UPSR 2009 di Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Haron, di sini semalam.

Turut hadir dalam program itu ialah Ketua Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Tanjong Karang, Salbiah Shaari dan Penolong Ketua Pengarang II Kumpulan Utusan, Ahmad Abdul Hamid.

Dalam program itu, kesemua murid yang terpilih daripada 15 buah sekolah rendah di seluruh kawasan Tanjong Karang turut didedahkan dengan pelbagai teknik menjawab soalan UPSR meliputi setiap mata pelajaran termasuklah Bahasa Inggeris.

Selain itu mereka juga mengikuti ceramah daripada pakar motivasi terkenal bagi meningkatkan semangat serta kesedaran untuk mencapai kecemerlangan dalam akademik.

Dalam pada itu, Noh yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani dalam ucapannya turut menasihati semua murid yang terlibat supaya sentiasa meletakkan pendidikan sebagai asas utama sekiranya mahu berjaya dalam hidup pada masa depan.

Katanya, pendidikan merupakan kunci utama sekiranya mereka mahu mengubah hidup ke arah yang lebih baik termasuklah melepaskan diri daripada belenggu kemiskinan.

''Semua murid perlu ingat bahawa sekiranya kita datang daripada keluarga miskin, kita tidak perlu mewarisi kemiskinan itu.

''Jadi, apa yang paling penting, semua murid perlu berusaha untuk mengubah hidup kita ke arah yang lebih baik melalui pendidikan sebagai kuncinya,'' ujarnya. - Utusan.

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya