|
|
Setiap bungkusan itu mengandungi serunding daging, sambal ikan bilis, kuah sate dan nasi impit yang membabitkan kos penyediaan sebanyak RM290,000.
Yang Dipertua Bakti, Datin Seri Rosmah Mansor berkata, masing-masing 15,000 bungkusan akan diagihkan kepada anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) manakala 2,300 untuk Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).
"Sumbangan tahun ini bertambah berbanding 30,000 kotak yang disumbangkan tahun lalu.
"Ini adalah tradisi tahunan Bakti sejak 20 tahun lalu bagi memberi peluang kepada anggota keselamatan merasai juadah Aidilfitri ketika bertugas di dalam dan luar negara," katanya.
Beliau berucap pada majlis Pembungkusan Kuih Raya Bakti di Bangunan Bakti Siti Hasmah (BBSH) di Taman Tun Dr. Ismail di sini hari ini.
Sebelum itu, Rosmah dan ahli Bakti menyiapkan baki 17,300 bungkusan berkenaan dengan dibantu 70 anggota PDRM, ATM dan APMM.
Hadir sama, isteri kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali dan isteri Timbalan Perdana Menteri, Puan Seri Noorainee Abd. Rahman.
Rosmah berkata, Bakti sentiasa menghargai jasa dan pengorbanan setiap anggota pasukan keselamatan negara terutama yang bertugas pada Aidilfitri kerana sanggup berjauhan dengan keluarga.
"Bungkusan kepada ATM sudah dihantar terus ke Kementerian Pertahanan untuk diedarkan kepada anggota mereka.
"Sementara itu bungkusan kepada PDRM dan APMM akan diserahkan esok pada majlis Penyerahan Bungkusan Hari Raya Aidilfitri di BBSH,'' katanya. - Utusan
0 comments:
Post a Comment