Sasar pamer produk di pusat beli-belah Harrods

Saturday, August 15, 2009

DANA pembangunan sebanyak RM1 juta yang diperuntukkan oleh kerajaan bagi membangunkan koperasi masyarakat Orang Asli dijangka dapat membantu meningkatkan keupayaan dan mengembangkan lagi perniagaan di kalangan Orang Asli.

Menerusi dana yang diberikan itu, masyarakat Orang Asli dapat menjalankan perniagaan pada skala lebih besar agar setanding dengan koperasi lain di negara.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Shafie Apdal menerusi teks ucapan majlis penutup Karnival Usahawan Orang Asli berkata, usahawan Orang Asli akan terus dibantu menerusi kelas bimbingan serta berpeluang menyertai pameran perniagaan di luar negara bagi menimba pengalaman menerusi insentif khas yang disediakan oleh Jabatan Hal Ehwal Orang Asli.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalannya, Datuk Hassan Malek.

Sementara itu, pada sidang akhbar selepas majlis itu, Hassan berkata, pada masa ini ada enam koperasi yang diusahakan oleh masyarakat Orang Asli di seluruh negara.

Hassan juga berkata sebuah pusat latihan kemahiran kraf tangan akan diwujudkan bagi masyarakat Orang Asli untuk menambah baik dan meningkatkan tahap kemahiran mereka dalam pengeluaran kraf tangan supaya dapat memenuhi standard antarabangsa.

“Kita berharap dengan kewujudan pusat ini yang akan dibina di Pulau Carey produk kraf tangan yang dihasilkan dapat memenuhi standard antarabangsa serta dapat dipamerkan di luar negara seperti di pusat beli-belah Harrods, London,” katanya.

Karnival Usahawan dan Kebudayaan Orang yang dianjurkan Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA), Malaysia pada 7 hingga 9 Ogos lalu bertempat di Mid Valley Exhibition Center adalah satu usaha meningkatkan taraf sosioekonomi Orang Asli.

Menerusi pelbagai acara menarik seperti pameran produk dan kraf tangan, kebudayaan, permainan masyarakat Orang Asli serta demonstrasi anyaman dan ukiran mendekatkan lagi orang ramai dengan kehidupan Orang Asli.

Karnival itu juga memberi peluang kepada orang ramai melihat kreativiti masyarakat Orang Asli. Ia juga dapat meningkatkan lagi kemahiran berkomunikasi antara masyarakat Orang Asli dengan orang ramai serta mengenal pasti produk keluaran mereka yang diterima oleh pasaran.

Malah, profil Orang Asli yang berjaya termasuk dalam bidang profesional juga dipamerkan . - Berita Harian.

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya