Penjagaan Pokok Nangka

Wednesday, December 29, 2010

BUAH nangka tergolong dalam keluarga Moraceae dan ia amat sesuai ditanam dikawasan tropika. Musim berbuah boleh berubah bergantung kepada faktor iklim semasa dan kesuburan pokok.

Biasanya ia berbuah sepanjang tahun dengan mula mengeluarkan hasil yang baik selepas tiga tahun ditanam.
MUSIM berbuah pokok nangka boleh berubah mengikut iklim dan kesuburan.

Nama saintik bagi pokok nangka ialah Artocarpus hytereophylus.

Manakala jarak tanaman yang sesuai ialah 9 meter (m) x 9 m dengan menggunakan sistem segi empat sama.

Bagi anak pokok nangka yang baru ditanam, kerja penyelenggaraan seperti kerja menyiram, kawalan rumpai, pembajaan, pemangkasan dan kawalan penyakit serta perosak perlu dilakukan secara berterusan bagi menjamin pengeluaran buah yang baik dan berkualiti.

Pokok nangka mudah dibiak dengan menggunakan kaedah cantuman mata tunas.

Pokok yang berjaya dicantum perlu diletakkan di bawah naungan dan sesuai ditanam apabila pokok berumur lima bulan dan ke atas selepas dicantum.

Pokok nangka yang disyorkan ditanam adalah seperti J27, J29, J30, J31, J33, nangka mastura USM 2000, CJ 3 dan CJ 6.

Buah nangka boleh dimakan segar dan diproses. - UTUSAN

Program Tunas Mekar Lahirkan Usahawan Jutawan

Program Tunas Mekar yang diperkenalkan sejak 2005 berjaya melahirkan siswazah usahawan yang mampu menjana pendapatan lebih RM1.2 juta setahun.
 
Pengarah Institut Tunas Mekar Tun Abdullah Badawi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Madya, Sodri Ariffin berkata, salah seorang siswazah terlibat kini berjaya mengusahakan restoran dan katering di Terengganu.

"Dia memulakan perniagaan tersebut sejak tiga tahun lalu selepas berjaya menamatkan kursus Program Tunas Mekar.

''Malah pada tiga bulan pertama memulakan perniagaan tersebut, dia berjaya meraih pendapatan bersih sebanyak RM300,000," katanya.

Beliau berkata, siswazah Diploma Tekstil UiTM itu adalah antara mereka yang mengikuti program berkenaan dan berjaya membuka perniagaan dalam bidang yang diminati.

"Selain siswazah tersebut kita juga berjaya melahirkan kira-kira 14 graduan usahawan yang berpendapatan lebih RM10,000 sebulan malah mereka yang mengusahakan restoran ataupun kedai runcit kini mampu membuka lebih dua cawangan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada para pemberita pada Majlis Penutupan dan Penyampaian Sijil Tunas Mekar Perlis yang dihadiri oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mata Ayer, Khairi Hassan dan Timbalan Naib Canselor, Jaringan Industri dan Masyarakat UiTM, Prof. Dr. Mohamad Kamal Harun, di sini, hari ini.

Program Tunas Mekar diilhamkan oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi dan diselaraskan oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri dengan kerjasama Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Menurut Sodri, siri pertama dilaksanakan pada 2005 dan sehingga kini seramai 500 siswazah telah mengikuti program tersebut manakala 300 daripadanya telah berjaya mengusahakan perniagaan sendiri.

Beliau berkata, program itu terbuka kepada semua siswazah yang berminat dalam bidang keusahawanan dengan menjalani tempoh kursus selama setahun bersama pihak pengusaha.

"Sepanjang tempoh tersebut, para siswazah dibayar elaun sebanyak RM800 sebulan dan belajar selok-belok mengusahakan perniagaan yang diminati," ujarnya.

Sodri berkata, sejak program itu diperkenalkan, jumlah siswazah lelaki yang menyertainya melebihi 60 peratus namun trend itu kini berubah apabila penyertaan siswazah wanita kini menyamai bilangan lelaki.

"Kebanyakan golongan wanita berminat untuk mengusahakan perniagaan bakeri, salon dan spa serta restoran," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Program Tunas Mekar di Perlis merupakan yang pertama kali diadakan melalui siri kedua dengan 18 siswazah berjaya menamatkan program itu. - UTUSAN

Perniagaan Keropok Keping Dan Lekor Di Terengganu Makin Pulih

Sesetengah pengusaha keropok di Kampung Losong di sini kini mampu mencatat jualan sehingga RM30,000 sebulan setelah perniagaan mereka jatuh merundum tahun lepas gara-gara dikaitkan dengan penyakit taun.

Pengerusi Persatuan Pengusaha Kerepok Losong (PPKL) Abu Bakar Yusof berkata ini berikutan orang ramai kembali memberikan sambutan kepada makanan tradisional Terengganu itu.

"Tahun lepas, orang ramai tidak berani membeli keropok kering dan keropok lekor kerana isi ikan dikatakan mengandungi kuman kolera," katanya kepada Bernama di sini Selasa.

Beliau berkata disebabkan itu, jualan keropok hampir lumpuh dan merosot sehingga 60 peratus kerana orang ramai mengelak daripada makan keropok.

Katanya keadaan semakin pulih dan kini sesetengah peniaga mampu mencatat jualan yang memberangsangkan.

Abu Bakar berkata pada musim cuti sekolah ini, jualan keropok meningkat antara RM300 dan RM10,000 sehari berbanding hari biasa antara RM200 dan RM1,000 sehari.

Peniaga keropok di Kampung Losong terbahagi kepada tiga kategori iaitu kategori kecil, sederhana dan besar, tetapi mereka semua merupakan anggota persatuan.

Katanya harga keropok lekor telah naik 20 sen, iaitu daripada lima batang berharga RM1 kepada empat batang berharga RM1, berikutan harga bahan mentah naik.

Beliau berkata harga ikan untuk membuat keropok pula naik dua kali ganda, begitu juga sagu dijangka naik daripada RM35 seguni (28kg) kepada RM56.

Menurutnya kebanyakan sagu ini diimport dari Indonesia kerana Malaysia kekurangan sagu.

Abu Bakar berkata PPKL kini mempunyai seramai 65 anggota, termasuk pengusaha roti canai segera dan persatuan cuba membantu terutamanya peniaga kecil supaya terus berkembang. - BERNAMA

Felda Bayar Bonus Insentif RM100.9 Juta

Sunday, December 26, 2010

Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) akan membayar Bonus Insentif Produktiviti kepada para peneroka di tanah rancangan seluruh negara berjumlah RM100,916,600.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata bonus itu adalah bagi menghargai sumbangan peneroka terhadap kemajuan industri sawit dan getah negara selain sebagai insentif kerana menghantar hasil melalui Felda.

Beliau berkata kadar bayaran bonus yang dibayar pada tahun ini ialah minimum RM400 dan maksimum RM1,200 bergantung kepada penghantaran hasil.

"Pembayaran bonus insentif ini melibatkan seramai 94,281 atau 83.70 peratus daripada 112,635 peneroka Felda seluruh negara.

"Bayaran Bonus Insentif Produktiviti Peneroka 2010 akan dibayar secara tunai di pejabat rancangan pada awal Januari 2011," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Najib berkata peneroka yang menghantar hasil melalui pengurusan rancangan dinilai berdasarkan penghantaran hasil dari Januari hingga Oktober tahun ini.

"Bagi peneroka sawit, kelayakan minimum ialah 8.01 tan/hektar manakala ganjaran maksimum ialah mereka yang menghantar hasil melebihi 17 tan/hektar ke atas.

"Bagi peneroka getah, kelayakan minimum ialah 600.01kg/hektar dan ganjaran maksimum diberi kepada yang menghantar hasil melebihi 1,400kg/ hektar," katanya.

Beliau berkata bilangan peneroka yang terlibat dalam penghantaran hasil sawit dan getah ini adalah seramai 30,611 orang manakala 61,170 yang sedang menanam semula bersama Felda akan menerima bayaran maksimum RM1,200 seorang.

"Pada tahun ini, Felda turut memberikan pertimbangan khas kepada peneroka di beberapa rancangan yang prestasi hasilnya rendah sepanjang masa disebabkan tanaman tidak produktif dan menunggu giliran untuk ditanam semula.

"Ini termasuk juga kawasan kebun peneroka yang diambil bagi tujuan pembangunan. Termasuk juga dalam kategori ini ialah tanaman peneroka yang hasilnya rendah disebabkan serangan musuh penyakit seperti ganoderma, serangan ulat bungkus dan lain-lain," katanya.

Kira-kira 2,000 peneroka terlibat dalam kategori pertimbangan khas itu dan kadar yang diberi kepada peneroka terlibat adalah sebanyak RM400 seorang, katanya.

Najib berkata seramai 18,354 peneroka atau 16.29 peratus pula didapati tidak layak menerima bayaran insentif kerana tidak menghantar hasil kepada Felda dan juga kerana hasil mereka kurang daripada hasil minimum yang telah ditetapkan.

Selain itu, katanya peneroka yang menguruskan sendiri kebun mereka dan tidak menghantar hasil, tidak dibayar bonus insentif ini.

"Kerajaan berharap pemberian bonus ini akan menjadi perangsang kepada peneroka di seluruh negara untuk berusaha lebih gigih bagi meningkatkan produktiviti masing-masing.

"Saya juga ingin mengajak semua peneroka untuk menyertai program bersama dengan Felda selaras usaha berterusan yang dilaksanakan oleh agensi tersebut bagi meningkatkan pendapatan mereka melalui penyelidikan dan khidmat nasihat yang disediakan," katanya. - BERNAMA

PTPTN Beri Pinjaman Berjumlah RM37 Bilion Sehingga Nov Lepas

Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) memberikan pinjaman berjumlah RM37 bilion kepada pelajar sejak ia ditubuhkan pada 1997 sehingga bulan lepas.

Pengerusinya Datuk Ismail Mohamed Said berkata seramai 1.7 juta pelajar yang berjaya melanjutkan pelajaran ke intitusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta telah menerima manfaat daripada pinjaman berkenaan.

"Bagaimanapun, daripada keseluruhan pelajar yang mendapat pinjaman itu hanya 77 peratus pelajar yang membayar balik pinjaman selepas mereka menghabiskan pengajian di IPT," katanya kepada pemberita selepas majlis Penganugerahan Pakaian dan Beg Sekolah, Meraikan Pelajar Cemerlang dan Miskin Peringkat Parlimen Kuala Krau di sini.

Beliau berkata, seramai 191,262 peminjam pula tidak pernah membayar balik pinjaman walaupun telah diberikan beberapa kali peringatan termasuk notis saman.

"Pembayaran secara sukarela oleh peminjam seperti melalui pemotongan gaji, bank dan secara atas talian dilihat tidak berkesan dalam mengutip kembali pinjaman dan kita harap cadangan pindaan Akta PTPTN 1997 untuk mewajibkan bayaran balik pinjaman secara potongan gaji dapat dilaksanakan pada tahun depan," katanya.

Katanya, bagi tahun ini, PTPTN mensasarkan menerima bayaran balik berjumlah RM5 bilion, namun setakat bulan lepas, pihaknya hanya menerima RM4.8 bilion. - BERNAMA

Projek Kambing Boer RM50 Juta Dimajukan

Saturday, December 25, 2010

Kerajaan yakin projek ladang kambing boer nasional yang sedang dimajukan di Pondok Tanjung dekat sini akan menjadi pemangkin terhadap keperluan makanan negara.
 
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk S. K. Devamany berkata, projek bernilai RM50 juta itu yang melibatkan kawasan seluas 770 hektar, mampu membekalkan bekalan daging dan baka kambing boer terbaik.
S. K. Devamany (dua dari kanan) memberi makanan kepada kambing boer di Pondok Tanjung, Taiping, semalam.

Menurutnya, projek itu dilaksanakan secara ladang kontrak melibatkan Syarikat SBBC Corporation Sdn. Bhd., Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) dan Jabatan Perkhidmatan Haiwan (JPV) dalam usaha membekal dan memasarkan kambing boer untuk keperluan dalam dan luar negara.

"Kawasan ini juga akan mempunyai kilang untuk makanan ternakan, memproses makanan berasaskan kambing, baja ternakan dan rumah sembelihan," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke ladang pengganda kambing boer di Pondok Tanjung dekat sini.

Projek itu bermula sejak 2008 dan kini mempunyai 1,500 ekor kambing boer baka tempatan dan Australia.
Devamany berkata, setakat ini sebanyak RM10 juta daripada peruntukan sejumlah RM20 juta telah disalurkan bagi projek tersebut untuk pembangunan infrastruktur asas ladang iaitu padang ragut dan jalan ladang manakala SBBC akan memperuntukkan RM24 juta bagi pembinaan 23 kandang kambing.

Menurut beliau, projek itu apabila siap sepenuhnya akan mempunyai kira-kira 9,000 ekor kambing boer.
Katanya, projek itu merupakan sebahagian daripada 29 projek bernilai RM468 juta yang dilaksanakan di kawasan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) melibatkan Kedah, Perlis, Pulau Pinang dan Perak dalam tempoh Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).

Tambahnya, NCER memberi fokus pada lima sektor iaitu pertanian, pembuatan, pendidikan, pelancongan dan infrastruktur pertanian.

Selain itu, Devamany berkata, beberapa lagi projek ekonomi seperti pelancongan dan pendidikan sedang dilaksanakan di daerah ini, Kuala Kangsar dan Gerik. - UTUSAN

KADA Terus Bantu Petani Miskin Menerusi Pelbagai Projek

Petani miskin di kawasan operasi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) terus mendapat pembelaan Kerajaan Persekutuan menerusi pelbagai program ekonomi dan keusahawanan menerusi pelaksanaan agenda membasmi kemiskinan tegar.
 
Anggota Lembaga Pengarah KADA, Datuk Dr. Ilias Hussin berkata, bermula September lepas peruntukan sebanyak RM4 juta diluluskan bagi membangunkan projek ekonomi berasaskan industri kecil dan sederhana di empat jajahan iaitu Pasir Mas, Tumpat, Ketereh dan Bachok.

Menurutnya, matlamat utama ialah melahirkan 100 usahawan pertanian yang berdaya maju dan mampu berdikari bagi setiap kawasan yang dipilih dengan melaksanakan tiga tanaman iaitu cendawan, cili fertigasi dan itik telur.

"Usaha yang dijalankan ini membolehkan mereka (petani) memperoleh hasil pendapatan di antara RM750 sehingga RM1,000 sebulan untuk melepasi garis pendapatan miskin tegar," katanya selepas menyampaikan bantuan pakaian seragam sekolah di Sekolah Kebangsaan Keting dekat sini hari ini.

Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan meluluskan peruntukan lebih RM273,000 untuk membekalkan beg dan pakaian seragam sekolah kepada 1,826 pelajar sekolah rendah dan menengah di jajahan ini.

Hari ini, 670 pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pak Badol, SMK Seri Gunung, SMK Jelawat, SMK Kubang Telaga, Sekolah Kebangsaan (SK) Pak Badol, SK Kuchelong, SK Kubang Telaga, SK Bakong, SK Alor Bakat, SK Telaga Ara dan SK Keting menerima bantuan berkenaan.

Ilias yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Pertanian Parlimen Bachok berkata, sebelum ini kebanyakan petani KADA yang dipilih menyertai program berkenaan hanya berpendapatan di antara RM300 hingga RM500 sebulan.

Katanya, projek menanam cendawan di daerah itu diberi fokus utama kerana hasil tanaman itu dibeli dalam kuantiti yang banyak oleh Koperasi Bela Rakyat DUN Jelawat untuk dipasarkan ke beberapa pasar raya besar di ibu negara, Negeri Sembilan dan Melaka.

Beliau berkata, koperasi itu memerlukan sebanyak lapan tan metrik cendawan sehari bernilai RM8,000 yang turut dilanggan secara tetap oleh 100 pemborong bagi pasaran dalam negeri.

Selain itu jelasnya, seramai 24 petani KADA di daerah ini turut terpilih sebagai peserta Program Satu Azam Akhiri Zaman Kemiskinan yang mendapat peruntukan sebanyak RM10,000 setiap orang untuk melaksanakan projek pemprosesan makanan berasaskan hasil pertanian dan perniagaan yang berkaitan dengan industri asas tani. - UTUSAN

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya