|
|
GURUN 25 Ogos - Pokok mahkota dewa atau nama saintifiknya phalenia macrocarpa tidak begitu dikenali jika dibandingkan dengan pokok tongkat ali.
Namun rahsia dan khasiat yang terkandung di sebalik pokok herba itu dikatakan setanding dengan tumbuhan-tumbuhan herba lain.
Malah, sewaktu perang di antara Belanda dengan Indonesia, pokok-pokok tersebut kononnya dimusnahkan oleh tentera Belanda kerana didakwa memberi kekuatan luar biasa kepada askar Indonesia.
Di Indonesia, pokok mahkota dewa digunakan untuk merawat pelbagai jenis penyakit seperti kanser, masalah buah pinggang, darah tinggi, angin ahmar, kencing manis, kolesterol tinggi dan pelbagai kegunaan yang lain.
Pokok itu mula ditanam pada 2002 oleh seorang bekas guru, Romli Hussain, 57, setelah memperoleh benih pokok tersebut daripada seorang rakannya yang berasal dari Indonesia.
"Pokok ini mengambil masa sembilan bulan untuk berbuah dan bermula dari akar, batang, daun, ranting dan buahnya mempunyai pelbagai khasiat.
"Ia amat mujarab untuk mengurangkan suhu badan yang meningkat akibat demam dan saya mencipta satu formula dipanggil H5+5 untuk merawat demam serta batuk yang begitu mudah tersebar pada masa kini," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bukit Kuang di sini,
Jelasnya, penularan wabak influenza A (H1N1) amat membimbangkan dan anaknya yang belajar di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam juga menghidap demam panas tiga minggu lalu.
Anaknya yang berumur 24 tahun itu terpaksa pulang ke kampung setelah pihak pentadbiran menutup kampus itu selama seminggu.
"Apabila anak saya balik, habis semua orang dalam rumah saya dijangkiti demam dan saya begitu khuatir apabila ubat yang diambil di hospital tidak berkesan untuk mengubati demam mereka.
"Dalam keadaan terdesak, saya yang risaukan keadaan anak saya mendapat ilham untuk mengadun ekstrak mahkota dewa bersama lima campuran herba yang lain bagi menghasilkan ubat H5+5 ini," katanya.
Jelasnya, di antara herba yang diadun bersama ekstrak mahkota dewa adalah pokok hempedu bumi, mengkudu hutan, daun malberry dan mambu.
"Kesemua bahan itu dihantar ke Kedah Bio Resources Corporation Sdn. Bhd. (KBio Corp) di Kulim untuk diekstrak dan diadun bagi dijadikan kapsul.
"Setiap ekstrak herba ini telah diuji dan selamat untuk kegunaan manusia," ujarnya.
Katanya, dia menggunakan modal sendiri untuk menjalankan perniagaan ubat-ubatan berasaskan herba dan sehingga kini sebanyak RM20,000 dilaburkan dalam bidang penyelidikan dengan KBio Corp.
"Saya turut mendapat ilmu dalam bidang herba melalui buku-buku herba tradisional India dan Cina.
"Selain itu nenek saya yang merupakan seorang bidan juga memainkan peranan penting untuk mendorong minat saya dalam bidang perubatan herba ini," katanya.
Menurut Romli, dia mula bergiat aktif menghasilkan 13 produk berasaskan mahkota dewa sejak 2003 dengan menghasilkan produk seperti sabun, syampu, minyak urut serta minyak rambut.
Tambahnya, beliau pernah menyertai Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) di Putrajaya pada 2008.
Bagi yang ingin mencuba herba tradisional Romli boleh menghubungi beliau di talian 012-4774415. - Utusan
0 comments:
Post a Comment