Tubuh yayasan Islam

Tuesday, August 25, 2009

KUALA LUMPUR 24 Ogos – Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) hari ini mencadangkan penubuhan satu yayasan gergasi bagi membantu kerajaan menjaga kebajikan serta membangunkan ekonomi masyarakat Islam di negara ini.

Presiden DPMM, Syed Ali Alattas berkata, konsep penubuhannya adalah sama dengan dana wakaf al-Azhar di Mesir iaitu sebuah institusi wakaf yang terbesar di dunia setakat ini.

Beliau berkata, dengan mengambil contoh wakaf al-Azhar, yayasan tersebut akan memperoleh sumber pendapatannya daripada wakaf atau derma yang diberikan oleh usahawan Islam, golongan korporat Islam serta syarikat-syarikat milik kerajaan (GLC) termasuk Petronas.

“Cuba lihat wakaf al-Azhar. Komitmen usahawan mereka mengisi dana itu amat tinggi dan sehingga kini dana ini telah memberi manfaat kepada berjuta-juta umat Islam termasuk pelajar Malaysia yang menuntut di Universiti Al-Azhar.

“Malah ada satu ketika kerajaan Mesir pernah membuat pinjaman dengan wakaf al-Azhar, tujuannya digunakan untuk membayar gaji kakitangan.

“Saya yakin kita boleh memulakan penubuhan satu yayasan dengan mengambil konsep wakaf al-Azhar,’’ katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengajak umat Islam supaya tidak lokek untuk mengorbankan harta dan wang ringgit demi pembangunan agama dan negara.

Tegas Perdana Menteri, sikap dermawan atau infak itu merupakan tiang seri kepada kekuatan umat Islam bagi meningkatkan ekonomi mereka untuk bersaing dengan bangsa lain di dunia ini.

Syed Ali berkata, beliau terdorong mencetuskan idea tersebut ekoran kejayaan dana wakaf al-Azhar membantu umat Islam dengan harta yang didermakan oleh usahawan dan syarikat-syarikat besar mereka.

“Saya mengimpikan untuk melihat penubuhan yayasan ini benar-benar dapat direalisasikan kerana faedahnya amat besar kepada masyarakat Islam di negara ini.

“Saya yakin usahawan kita terutama yang telah berjaya serta GLC yang besar tidak lokek untuk infak harta mereka bagi tujuan kebajikan,’’ katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, DPPM sedia menggerakkan penubuhan yayasan tersebut.

Ketika ditanya dana permulaan yang diperlukan, Syed Ali berkata, yayasan tersebut memerlukan sekurang-kurangnya RM1 bilion.

“Saya percaya kita mampu mengumpulkan dana sehingga RM1 bilion kerana sebahagian besar usahawan kita mempunyai sifat dermawan yang tinggi.

“Bayangkan dengan adanya yayasan itu dan dengan wang sebanyak itu berapa ramai masyarakat Islam di negara ini akan mendapat faedahnya.

“Mereka akan dibantu untuk maju dalam pelbagai bidang antaranya pendidikan dan keusahawanan,’’ tambahnya.

Beliau berkata, sebaik-baik seorang usahawan itu ialah sanggup mendermakan satu perlima daripada keuntungan bersihnya untuk kebajikan masyarakat dan perkara itu pernah dinyatakan oleh Syeikh al-Azhar.

“Kita harus ingat bahawa harta yang kita miliki bukan semuanya hak kita tetapi ada di antaranya merupakan hak orang lain. Oleh itu hak ini hendaklah diberikan kepada mereka yang benar-benar berhak,’’ ujarnya. - Utusan

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya