Tangani ponteng sekolah, gangsterisme - Muhyiddin

Saturday, August 15, 2009


Muhyiddin Yassin melancarkan Bulan Pencegahan Jenayah Peringkat Kebangsaan 2009 sambil diperhatikan dari kiri Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Lee Lam Thye, Musa Hassan, Tan Alimuddin Mohd Dom dan Eddy Chen Lok Loi di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, Putrajaya, semalam. - UTUSAN/ SAIFUL BAHARI ASHARI

PUTRAJAYA 14 Ogos - Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu ibu bapa dan pihak sekolah memberi perhatian terhadap gejala ponteng dan gangsterisme di kalangan pelajar bagi mengelak masalah disiplin khususnya jenayah yang lebih serius.

Timbalan Perdana Menteri berkata, usaha bersepadu perlu dilakukan bagi mengelakkan dua gejala itu berleluasa di kalangan pelajar sekolah.

"Gejala ini (ponteng dan gangsterisme) cenderung untuk membawa kepada masalah disiplin dan kegiatan berunsur jenayah yang lebih serius seperti penagihan dadah, ragut dan pelbagai bentuk jenayah lain.

"Usaha bersepadu perlu dilakukan untuk membendung gejala ini di peringkat awal dan mengelakkannya daripada terus berleluasa di kalangan murid," katanya.

Beliau berucap pada majlis pelancaran Bulan Pencegahan Jenayah Peringkat kebangsaan anjuran Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) di sini hari ini.

Kempen tahunan bertemakan Kami Pilih Gaya Hidup Bebas Jenayah itu bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat khususnya pelajar sekolah mengenai kepentingan mewujudkan persekitaran selamat untuk bermain, belajar dan mengejar cita-cita.

Turut hadir Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan; Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom; Naib Pengerusi MCPF, Tan Sri Lee Lam Thye dan Bendahari MCPF merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Kempen Pencegahan Jenayah Peringkat Kebangsaan, Datuk Eddy Chen Lok Loi.

Dalam pada itu, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, kementeriannya telah menggerakkan Pasukan Petugas Anti Ponteng di 52 daerah untuk membanteras gejala ponteng sekolah di kalangan pelajar.

"Pasukan ini terdiri daripada pegawai pelajaran daerah, pihak berkuasa tempatan, persatuan ibu bapa dan guru serta agensi-agensi setempat untuk membanteras gejala ponteng sekolah," katanya.

Beliau berkata, seramai 942 orang murid telah dapat dikesan oleh Pasukan Petugas Anti Ponteng terlibat dalam kegiatan ponteng sekolah pada tahun lalu.

"Saya percaya jumlah ini hanya mewakili sebahagian kecil daripada jumlah pelajar yang terlibat dalam gejala ponteng.

"Saya berharap pasukan petugas ini dapat digerakkan dengan lebih menyeluruh dan secara agresif di kalangan murid," katanya.

Muhyiddin berkata, walaupun hanya segelintir kecil murid terlibat dalam jenayah, tetapi keadaan itu tidak boleh dipandang ringan.

"Kadar jenayah yang melibatkan murid sekolah adalah kecil iaitu hanya 0.03 peratus dan 2.03 peratus untuk salah laku disiplin dari tahun 2004 hingga 2008.

"Walaupun peratusannya amat kecil tetapi kita tidak boleh pandang ringan, kita mahu semua pelajar datang ke sekolah mengikut jadual dan ibu bapa perlu mengetahui apa yang dilakukan anak mereka semasa berada di dalam atau luar sekolah," katanya.

Mengenai penubuhan Kelab Pencegahan Jenayah (KPJ), Muhyiddin berkata, sehingga tahun lalu, sebanyak 6,477 buah KPJ telah ditubuhkan iaitu 2,052 di sekolah menengah dan 4,395 di sekolah rendah.

"Seramai 207,700 murid sekolah menengah dan 172,669 murid sekolah rendah telah terlibat dalam KPJ," katanya.

Tambah beliau, Kementerian Pelajaran pada masa sama memperluaskan Kor Kadet Polis melalui kerjasama dengan Polis Diraja Malaysia.

"Sehingga tahun lalu, sejumlah 2,534 platun Kor Kadet Polis diwujudkan dengan keanggotaan seramai 88,690 orang," katanya. - Utusan.

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya