Pekasam Wanita Utara ke luar negara

Monday, August 17, 2009


JOHARABI Muhamad menunjukkan bungkusan ikan pekasam keluaran syarikatnya.


LENGGONG 16 Ogos - Apabila disebut ikan pekasam, perkara pertama yang pasti terlintas di fikiran kita ialah ikan air tawar yang mempunyai rasa masam-masam masin dan begitu enak jika dimakan dengan nasi panas.

Jika dahulu ikan pekasam hanya popular di kalangan penduduk di utara Semenanjung, kini ia semakin mendapat permintaan yang tinggi di kalangan para penggemarnya sehingga berjaya menembusi pasaran luar negara.

Di Perak, terdapat beberapa pengusaha Melayu yang terlibat dalam menghasilkan produk istimewa ini dan antaranya ialah Joharabi Muhamad, 35.

Menurut Joharabi, idea untuk mengkomersialkan ikan pekasam adalah atas dorongan ibunya, Zairom Che Wok, 60.

Pada mulanya kata ibu muda ini, dia belajar membuat ikan pekasam dan menjualnya secara kecil-kecilan tetapi sambutan menggalakkan yang diterima membuatkannya nekad untuk membesarkan perniagaan tersebut.

"Idea untuk menjual ikan pekasam timbul selepas saya meluahkan rasa bosan tinggal di rumah kepada ibu. Selepas berkahwin, saya berhenti kerja di kilang dan menjadi suri rumah.

"Idea daripada ibu yang memang pandai membuat ikan pekasam akhirnya menjadi sumber pendapatan kepada saya sekeluarga kini. Alhamdulillah, ikan pekasam yang dibungkus di bawah label 'Pekasam Wanita Utara' kini sudah menembusi pasaran China, Brunei dan Indonesia," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di rumahnya di Pekan Kuak di sini baru-baru ini.

Jelas Joharabi, selain digoreng garing dan dimakan dengan nasi panas, menu makanan menggunakan ikan pekasam juga boleh dipelbagaikan seperti dimakan dengan pulut dan ubi kayu rebus.

Malah katanya, ikan pekasam juga boleh dimasak gulai lemak atau dijadikan serunding yang pastinya enak dimakan bersama ketupat.

"Pekasam sebenarnya boleh dijadikan rendang seperti juga ayam dan daging. Hanya buang tulang belakang ikan dan campurkan dengan rempah ratus serunding, rasanya sangat enak," katanya.

Usaha Joharabi bertambah mudah apabila dibantu oleh suaminya, Meor Shahili Meor Hassan, 41.

Mereka memerlukan 300 kilogram ikan air tawar seperti ikan loma, sepat, lampam, puyu dan tilapia setiap hari untuk membuat pekasam.

Untuk menghasilkan ikan pekasam yang bermutu katanya, proses pertama yang perlu dilakukan ialah ikan disiang dan perutnya dibuang sebelum diletak garam dan diperam selama dua minggu.

Kemudiannya, ikan itu dibersihkan dan digaul dengan serbuk beras yang dikisar halus.

Selepas itu, ikan dimasukkan ke dalam tong besar yang ditindih dengan benda berat dan disimpan selama dua minggu lagi sebelum dibungkus.

"Sebenarnya, lagi lama ikan diperam, rasanya akan lebih enak. Ikan pekasam boleh disimpan lama kerana ia sudah diawet," katanya.

Menurut Meor Shahili pula, untuk memastikan ikan pekasam yang dibuat 'menjadi' dan mempunyai rasa yang sedap, hanya ikan-ikan segar yang dibekalkan oleh pemborong akan digunakan.

"Saya sangat menitikberatkan kebersihan dalam proses menghasilkan ikan pekasam bagi memastikan produk yang dipasarkan benar-benar berkualiti.

"Ramai yang mengatakan ikan pekasam berbau busuk kerana diperam. Saya mahu mengubah persepsi ini. Jika kita menggunakan ikan segar dan menjaga kebersihan tempat menyediakannya, ia tidak akan berbau busuk," katanya

Pekasam Wanita Utara dijual pada harga RM3.50 untuk 200 gram dan sekiranya pelanggan membeli secara pukal, mereka boleh mendapatkannya pada harga borong RM2.80 untuk 200 gram. - Utusan.

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya