PM syor Felda, Risda, Felcra bergabung

Monday, August 24, 2009

PEKAN 23 Ogos – Tiga agensi perladangan terbesar di negara ini – Felda, Risda dan Felcra disaran bergabung mewujudkan satu konsortium bagi melaksanakan pelbagai projek industri hiliran berimpak tinggi pada masa akan datang.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengemukakan cadangan tersebut yakin jalinan kerjasama itu mampu memberi keuntungan yang berganda kepada agensi-agensi terbabit selain membasmi kemiskinan dengan lebih berkesan.

Menurut beliau, perbincangan mewujudkan jalinan kerjasama itu akan diadakan dalam tempoh terdekat sebelum ketiga-tiga agensi terbabit tampil mengemukakan konsep gabungan yang bakal dilaksanakan.

‘‘Ketiga-tiga agensi masih kekal tetapi projek-projek yang dijalankan boleh dilaksanakan menerusi kerjasama dengan mewujudkan satu konsortium.

‘‘Saya telah minta Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) ketiga-tiga agensi ini berbincang dan apabila bersedia, mereka boleh berjumpa dengan saya atau Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah untuk kita buat satu ketetapan bagaimana konsep gabungan itu dilaksanakan,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas menyampaikan dividen Rancangan Tanam Baru Berkelompok (RTBB) dan Tanam Semula Komersial (TSK) Risda di Dewan Konvensyen Sultan Haji Ahmad Shah di sini hari ini.

Hadir sama, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal dan Pengerusi Risda, Tan Sri Rahim Tamby Chik.

Najib menjelaskan, banyak projek industri hiliran dapat dilaksanakan secara kerjasama antara Felda, Risda dan Felcra termasuk dalam pengurusan ladang dan kilang.

Ini kerana, kata beliau, projek-projek yang dijalankan oleh ketiga-tiga agensi itu mempunyai banyak persamaan dan tidak sewajarnya ia dijalankan secara berasingan.

Beliau memberi contoh, ketiga-tiga agensi terbabit boleh merancang untuk membina sebuah kilang baja atau sawit yang dapat dikongsi oleh peneroka Felda dan para peserta Risda dan Felcra.

‘‘Kalau ketiga-tiga agensi ini berkongsi mendirikan sebuah kilang baja atau sawit, kita akan dapat nikmat ekonomi yang lebih besar berbanding setiap agensi mendirikan kilang masing-masing.

‘‘Kalau kawasan kilang sawit itu pula dekat dengan ladang Felda, Risda dan Felcra dan semua agensi ini menggunakan kilang yang sama, sudah tentu kilang ini lebih maju berbanding setiap agensi mempunyai kilang masing-masing di ladang masing-masing.

‘‘Keuntungan yang lebih besar juga dinikmati oleh para peneroka dan peserta sesebuah ladang tersebut,” jelasnya.

Najib menganggap cadangan itu tidak tidak mustahil memandangkan agensi-agensi terbabit mampu mengadakan kerjasama dengan syarikat-syarikat luar untuk melaksanakan projek-projek tertentu.

‘‘Jika kita boleh menjalinkan kerjasama dengan syarikat-syarikat luar negara, mengapa tidak dengan agensi-agensi yang dimiliki oleh kerajaan walaupun terletak dalam kementerian yang berbeza.

‘‘Kita sebenarnya mempunyai matlamat yang sama dan kekuatan dalaman untuk menguasai ekonomi,” katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Najib memberitahu, kerajaan sedang merumuskan satu model ekonomi baru yang memberi penekanan kepada nilai tambah tinggi dalam projek-projek yang dijalankan.

Dalam sektor pertanian misalnya, kata beliau, kerajaan merancang meningkatkan lagi industri ternakan burung layang-layang atau walit dan rumput laut yang berpotensi dimajukan.

Kerajaan juga, jelas beliau, menerusi Felda akan menjalankan projek ternakan lembu selepas membeli tanah seluas lapan juta hektar di Australia bagi tujuan tersebut.

‘‘Lembu-lembu itu kemudian akan dibawa ke Malaysia untuk dibesarkan dan menerusi haiwan tersebut kita mampu mencipta 28 lagi projek hiliran yang lebih menguntungkan berbanding hasil dagingnya semata-mata,” jelasnya. - Utusan

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya