IPS lahirkan 2,000 graduan tani

Thursday, August 27, 2009

KOTA KINABALU 26 Ogos - Institut Pertanian Sabah (IPS) merupakan salah sebuah pusat latihan pertanian terawal di Sabah yang diwujudkan sekitar tahun 70-an.

Pada peringkat awal penubuhannya iaitu 20 Mac 1970, IPS dikenali sebagai sebuah Sekolah Vokasional Pertanian yang terletak di Pusat Latihan Pertanian, daerah Tuaran.

Seiring perkembangan semasa khususnya dalam usaha kerajaan melahirkan ramai petani moden, IPS dinaiktaraf kepada sebuah institut pada Januari 1980 dan lokasinya turut berpindah ke tapak tetapnya iaitu Timbang Menggaris, Kota Belud.

Sejumlah RM4.5 juta diperuntukkan bagi membiayai pembinaan bangunan baru IPS itu. Menariknya, sebanyak RM1.5 juta merupakan sumbangan kerajaan New Zealand di bawah Program Rancangan Bantuan Colombo manakala selebihnya merupakan peruntukan kerajan Pusat.

Setelah 39 tahun menjadi gedung ilmu pertanian, institut ini telah melahirkan seramai 1,999 graduan tani pelbagai bidang.

Di IPS para pelajar boleh mengikuti pengajian Landskap, Pengurusan Ternakan, Mekanisasi Ladang, Pengurusan Estet, Teknologi Memproses Hasil Pertanian dan Teknologi Pengeluaran Makanan.

Pengetuanya, Vermol Thomblon berkata, IPS berupaya memenuhi keperluan tenaga pekerja mahir di sektor awam dan swasta.

''Memberi latihan kemahiran dan pengkhususan kepada pelajar untuk mewujudkan bakal usahawan pertanian merupakan matlamat pihak IPS.

''Graduan IPS akan memainkan peranan penting ke arah meningkatkan lagi pengeluaran dan produktiviti sektor pertanian negara secara langsung atau tidak langsung. Belia yang berminat mengikuti kursus di IPS perlu sekurang-kurangnya lulus Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)," katanya.

Vermol berkata, di IPS, para pelajar diajar cara mengurus ternakan, estet dan ladang dengan betul.

''Di IPS, mereka dikehendaki menyediakan kertas projek perusahaan ternakan seperti ayam daging, puyuh, arnab, ikan air tawar dan telur haiwan seperti ayam dan puyuh.

''Selain itu, mereka juga perlu menyelenggara projek ternakan dan belajar tentang pengurusan lembu tenusu, lembu daging dan bebiri serta kambing. Dalam pertanian juga, pelajar perlu pandai melakukan penilaian kos perusahaan ternakan," ujarnya.

Dalam pada itu, Vermol berkata, kurikulum latihan IPS telah diselaraskan dengan Kurikulum Kursus Sijil Pertanian Semenanjung dan diiktiraf oleh Jabatan Perkhidmatan Awam, setaraf dengan institut pertanian di Semenanjung.

Katanya, institut ini dikelolakan oleh Jabatan Pertanian Negeri di bawah Cawangan Latihan dan Pendidikan. Kursus di IPS juga telah disingkatkan daripada tiga tahun kepada dua tahun sahaja.

Ketika ini, terdapat enam buah IPS seluruh negara yang memberi latihan Sijil Pertanian kepada para belia. Daripada jumlah itu, sebanyak empat buah institut di Semenanjung manakala masing-masing satu di Sabah dan Sarawak. - Utusan

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya