Jual produk melalui Internet

Thursday, August 27, 2009


Siti Noraizah Kassim meluaskan ruang niaga hamper raya di internet melalui laman web, loveforevergifts.blogspot.com.

SEREMBAN 26 Ogos - Kecanggihan teknologi informasi maklumat (ICT) hari ini memudahkan ahli perniagaan memasarkan produk mereka dengan pelbagai cara termasuk melalui Internet.

Sebagai peniaga yang sentiasa maju ke hadapan, Siti Noraizah Kassim, 39 juga tidak mahu ketinggalan mengaplikasikan kemudahan tersebut bagi mempopularkan produknya.

Malah kata Siti Noraizah, percubaannya dengan medium tersebut sejak setahun lepas membuahkan hasil apabila produknya semakin meraih tempat di kalangan pengguna alam maya.

Kebanyakan daripada mereka tambah Siti Noraizah, merupakan individu dan syarikat korporat yang kemudian menjadi pelanggannya.

''Salah satu kelebihan memasarkan produk di dalam laman web ini adalah ruang pemasarannya lebih luas. Sebagai contoh baru-baru ini saya mendapat seorang pelanggan dari Bandung yang meminati kuih-muih dari Malaysia.

''Maklum balas yang diterima melalui laman web juga baik terutama yang ingin membuat penghantaran untuk pelanggan mereka di sekitar negeri ini dan Kuala Lumpur," tambah beliau.

Begitu juga dengan ruang Facebook, jika kebanyakan orang menggunakannya untuk bersosial, Siti Noraizah pula berusaha memasarkan produknya.

''Facebook adalah sesuatu yang paling hangat pada masa ini, banyak yang menggunakan Facebook dan saya dapati ia sangat efektif melalui maklum balas yang saya dapat," katanya yang mendaftar dengan nama sendiri.

Penggunaan medium tersebut, kata Siti Noraizah, mampu memperluaskan ruang niaga di kalangan pengguna Internet yang terdiri daripada pelbagai lapisan usia dan jantina.

''Kemudahan tersebut juga membolehkan semua pengguna dari seluruh negara ini melihat produk yang saya tawarkan tanpa perlu bertemu. Saya juga menyediakan khidmat penghantaran ke lokasi tertentu," katanya.

Tambah Siti Noraizah lagi, laman web tersebut, loveforevergifts.blogspot.com akan sentiasa dikemaskini terutama alam memberi maklumat tentang produk terbaru.

''Pelanggan boleh memesan produk daripada katalog yang disediakan dalam web tersebut atau membuat tempahan bagi yang ingin mengikut cita rasa sendiri," katanya. - Utusan

1 comments:

rapi said...

sedang mencari khemah utk camping? layari www.sridamansaraoutdoor.com thanks!

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya