Peniaga bazar terima sumbangan

Wednesday, September 2, 2009

Oleh Badrul Hizar Ab Jabar
bhizar@bharian.com.my

MELAKA: Kira-kira 200 peniaga bazar Ramadan di Taman Cempaka, Peringgit, dekat sini, menerima sumbangan akhbar Berita Harian, apron dan cenderahati sempena program Semarak Ramadan Berita Harian yang diadakan di kawasan bazar berkenaan, petang semalam.

Majlis dihadiri Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam itu juga bertujuan menyampaikan sumbangan daripada beberapa syarikat kepada kerajaan negeri termasuk untuk diagihkan kepada peniaga di situ.

Berita Harian diketuai Pengarang Kumpulan, Mior Kamarul Shahid. Antara syarikat memberi sumbangan ialah BLD Plantation Bhd, Bank Islam, Adabi, Bernas dan Yusuf Taiyoob Sdn Bhd.

BLD Plantation Bhd diwakili Pengarah Eksekutifnya, Wan Abdillah Hamid; Bank Islam oleh Ketua Cawangan Wilayah Selatan, Faisal Ja'afar; Adabi oleh Pengarah Promosi dan Perhubungan Awam, Chef Raman Abu Samah. Sumbangan oleh Bernas dan Yusuf Taiyoob disampaikan Mior Kamarul kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Serkam, Ghazale Mohamad.

Pada majlis itu, Mior Kamarul turut menyampaikan akhbar Berita Harian kepada Mohd Ali yang kemudian diberikan kepada peniaga bazar Ramadan berkenaan, manakala Wan Abdillah pula, menyumbangkan RM5,000 untuk Tabung Pahlawan RM1 1Melaka yang ditubuhkan kerajaan negeri bagi membantu anggota pasukan keselamatan yang berkhidmat untuk negara.

Hadir sama, Datuk Bandar Melaka Bandaraya Bersejarah, Yusof Jantan; Timbalan Pengarang Kumpulan Berita Harian Sdn Bhd (BHSB), Mahfar Ali; Ketua Biro BHSB Cawangan Melaka, Amirullah Andi Nur dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Bukit Palah, Mozaimi Mohamad.

Ketika diminta mengulas mengenai penerbitan sisipan Edisi Melaka/Negeri Sembilan (MNS) Berita Harian yang dilancarkan sejak 17 Ogos lalu, Mohd Ali berkata, usaha terbaru Berita Harian bagi mendekati semua peringkat pembaca akar umbi itu sangat bagus kerana ia lebih memberikan banyak laporan di Melaka berbanding sebelum ini.

"Ia sangat bagus, sebab lebih banyak laporan mengenai aktiviti di negeri ini dapat disiarkan menerusi sisipan MNS ini. Saya juga berharap Berita Harian selepas ini dapat menyiarkan laporan berita yang dapat membantu kerajaan negeri menjadi negeri maju pada 2010," katanya. - Berita Harian

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya