|
|
Walaupun harganya semakin mahal saban tahun tetapi ia tetap dibeli bagi memenuhi keperluan.
Bagaimanapun, tidak ramai yang tahu harganya mahal kerana kebanyakan daun palas yang dijual itu kini makin sukar dicari.
Lebih membimbangkan, para penjual daun palas tempatan terpaksa mendapatkan bekalan 'import' daun palas dari selatan Thailand.
Seorang penjual daun palas yang ditemui, Basri Yaakob, 36, memberitahu, dia terpaksa membeli daun palas dari peraih di kawasan Betong, Thailand untuk dijual di sekitar Pekan Baling.
Kata Basri, biasanya dia memperoleh bekalan tersebut secara borong iaitu melebihi 50,000 pelepah setiap minggu bagi musim Ramadan dan sambutan Hari Raya Aidilfitri.
"Daun-daun palas berkenaan kemudiannya diikat menjadi satu ikatan mengandungi enam pucuk dan dijual dengan harga RM4 hingga RM5," katanya.
Peniaga itu berkata, sebelum ini dia mendapat bekalan daripada peraih di kawasan pedalaman Kedah seperti Baling, Sik dan Pendang.
Bagaimanapun, disebabkan permintaan mendadak dan juga kekurangan bekalan akibat pemusnahan hutan, dia terpaksa mencari alternatif lain termasuk mendapatkan dari rakan-rakannya di Thailand.
"Antara daun palas yang mendapat permintaan tinggi adalah jenis daun tumbuh di kawasan tanah lembut," katanya.
Basri memberitahu, daun palas jenis tersebut mudah dilipat bagi membungkus beras pulut untuk dijadikan ketupat.
"Selain itu, para pengguna juga suka membeli daun palas yang bersaiz pendek kerana tidak perlu memotongnya," jelasnya.
Selain jenis berkenaan, katanya, daun palas bukit turut mendapat permintaan kerana ia berbau wangi dan tidak mudah koyak ketika dilipat.
"Ketupat yang dihasilkan menggunakan daun palas bukit mengeluarkan aroma wangi dan sangat enak dimakan," katanya. - Utusan
0 comments:
Post a Comment