1,000 peserta dapat dividen

Friday, September 18, 2009

TASEK GELUGOR 17 Sept. - Lebih 1,000 peserta projek Rancangan Tanam Semula Berkelompok (RTBB) dan Tanam Semula Komersial (TSK) negeri Pulau Pinang dan Kedah menerima dividen masing- masing di Dewan Besar Sungai Dua, Merbau Kudong di sini.

Daripada jumlah itu, 259 peserta adalah dari Pulau Pinang melibatkan dividen RM1.2 juta dengan keluasan tanah 692.25 hektar manakala 815 peserta dari Kedah pula sebanyak RM2.7 juta melibatkan kawasan tanah 2,068.00 hektar.

Pengerusi RISDA, Tan Sri Rahim Tamby Chik ketika berucap pada majlis itu berkata, pemberian dividen 2008 itu tentu menggembirakan semua peserta projek berkenaan, terutama menjelang Hari Raya Aidilfitri beberapa hari lagi.

"Dengan adanya projek RISDA seperti ini ia sudah berjaya mengurang kadar kemiskinan penduduk luar bandar berbanding sebelum negara mencapai kemerdekaan," katanya.

Beliau berkata, RISDA kini berjaya mengeluarkan 100 peratus pekebun kecil dari garis miskin tegar setelah pelbagai projek ekonomi di kawasan luar bandar dilaksanakan secara serius.

"Ini kejayaan besar dibuat oleh RISDA dan ia akan diperluaskan lagi ke tahap yang lebih baik pada masa akan datang," kata beliau.

Sehingga ini, RISDA telah membangunkan seluas 47,347.90 hektar ladang getah dan kelapa sawit melibatkan 16,080 peserta di seluruh negara.

Terdahulu, wakil Ketua Pengarah RISDA, Meor Mohd. Zamnis Meor Hasan berkata, pada tahun lepas harga getah dan sawit adalah baik dan RISDA dapat menjana keuntungan agak lumayan dari ladang-ladang itu dan sejumlah RM83.3 juta dividen dapat diagih-agihkan.

Beliau menegaskan, langkah RISDA mewujudkan Sistem Komputer e-Tanam Semula beberapa tahun lepas telah berjaya mempercepatkan proses tanam semula dengan menggabungkan data-data dari Pejabat Tanah (e-Tanah), Plan Kadestral Jabatan Ukur, Sistem e-Kebun RISDA dan Sistem Klasifikasi Tanah di Kementerian Pertanian.

Turut hadir pada majlis itu ialah Pengarah RISDA Kedah, Azmi Mohamad dan Pengarah RISDA Pulau Pinang, Awiskarni Zulkarnaini.

Seorang peserta projek itu, Ramli Abdul Rahman, 69, dari Kampung Baru Tasek Gelugor berkata, dia tidak berdaya lagi untuk melakukan kerja ladang dan terpaksa menyerahkan tanah untuk diusaha oleh RISDA.

"Apa yang menggembirakan, RISDA memberi dividen kepada peserta menjelang musim perayaan dan wang ini boleh digunakan untuk membeli pelbagai barangan keperluan," katanya. - Utusan

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya