KUALA LUMPUR: Rumah terbuka sempena Aidilfitri membolehkan rakyat pelbagai kaum di negara ini menjalinkan perhubungan yang rapat dan erat, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Timbalan Perdana Menteri berharap tradisi kunjung mengunjung ke rumah terbuka dapat mengeratkan lagi silaturahim antara umat Islam serta hubungan yang baik dengan penduduk yang bukan beragama Islam.
"Semoga di hari yang gembira ini hubungan kita sebagai rakyat yang berbilang kaum dan agama di negara yang tercinta ini akan bertambah erat lagi," katanya dalam perutusan Aidilfitri yang dikeluarkan di sini, semalam.
Muhyiddin berkata, umat Islam di negara ini bertuah kerana dapat merayakan Aidilfitri dalam keadaan aman, selamat dan bebas daripada apa-apa malapetaka.
"Hari raya bukan hanya hari kemenangan melawan nafsu dan dugaan tetapi juga hari untuk kita bergembira. Hari ini kita umat Islam bukan saja dapat makan minum dan bergembira dengan kejayaan kita, tetapi hari ini menjadi hari untuk kita memperbaharui ikatan kita dengan ibu bapa dan keluarga, dengan sahabat handai, jauh dan dekat," katanya yang mengucapkan Selamat Aidilfitri kepada semua, termasuk anggota pasukan keselamatan di perbatasan dan pegawai serta kakitangan lain yang terpaksa bertugas di hari raya.
Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat, berkata perayaan seperti Aidilfitri adalah satu daripada wadah terbaik untuk mempamerkan semangat persefahaman, keprihatinan dan saling menghormati di kalangan rakyat berbilang kaum Malaysia.
Beliau berkata, Aidilfitri bukan hanya sekadar mengunjungi rumah terbuka dan menikmati juadah hari raya.
"Ketika rakan beragama Islam kita meraikan Syawal selepas sebulan berpuasa dan menahan diri, kita juga berkongsi dan turut serta dalam meraikan perayaan mereka," katanya dalam perutusan Aidilfitri yang disiarkan dalam blognya.
Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu pula menggesa rakyat Malaysia membawa konsep 1Malaysia lebih jauh lagi dengan menjadikannya sebagai sebahagian budaya perayaan mereka.
"Ia perlu dijadikan satu budaya di mana setiap rakyat Malaysia berkongsi impian yang sama dan membina negara bersama-sama," katanya dalam perutusannya.
Beliau juga berkata, konsep 1Malaysia patut diamalkan pada setiap musim perayaan seperti hari raya yang membolehkan orang Islam dan bukan Islam dapat meraikannya bersama-sama dan menganjurkan rumah terbuka di kawasan masing-masing.
Ketua Menteri Sarawak yang juga Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Tan Sri Abdul Taib Mahmud, berkata rakyat di Sarawak diminta tidak hanya mengkritik kerajaan seperti yang dilakukan oleh sesetengah pihak kerana negeri ini sudah mengecapi pelbagai keuntungan besar sejak menyertai Malaysia.
Katanya, keamanan yang dinikmati hasil daripada perjuangan tokoh kemerdekaan terdahulu juga harus dijaga.
"Sebaliknya, jika negara kacau bilau mustahil kita dapat menyambut mana-mana perayaan dengan meriah dan, oleh itu, renungkanlah apa yang telah kerajaan kita lakukan untuk kita demi kebaikan semua," katanya dalam perutusan sama. - Berita Harian
0 comments:
Post a Comment